suria

Nik Nazmi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq timbalan?

Nik Nazmi (kiri) dan Syed Saddiq.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mencadangkan supaya Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menerajui Kementerian Belia dan Sukan.

"Nik mempunyai pengalaman pentadbiran sebagai Exco Selangor yang bertanggungjawab ke atas pendidikan, modal insan, sains, teknologi dan inovasi," kata Kian Ming menerusi tulisan di akaun Twitter miliknya pada Ahad.

Menurut Kian Ming, Nik Nazmi yang merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa itu juga adalah bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan pada usianya 36 tahun, belliau seorang yang muda dan berkemampuan.

"Sebagai anggota DUN Selangor selama dua penggal, beliau mempunyai banyak pengalaman," kata Kian Ming.

Pada awalnya Kian Ming memilih Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Menteri Belia dan Sukan kerana boleh dijadikan inspirasi kepada wanita muda dalam bidang sukan.

Bagaimanapun menurut Nurul Izzah, beliau tidak mahu memegang jawatan dalam Kabinet.

Tambah Kian Ming, walaupun Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, 25, merupakan seorang yang berkarisma dan penuh dengan idea, tetapi anak muda itu lebih sesuai dijadikan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan buat masa ini supaya dapat belajar daripada seseorang yang lebih berpengalaman.

Kian Ming menjelaskan bahawa terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi Kementerian Belia dan Sukan dan memberitahu menterinya tidak semestinya seseorang yang giat bersukan, tetapi perlu berminat dalam sukan untuk memahami bagaimana untuk membangunkan pelbagai sukan di negara ini.

"Ia memerlukan kreativiti, kemahiran pentadbiran yang baik dan keupayaan untuk mengetahui bila untuk menghukum dan memberi ganjaran kepada persatuan sukan," katanya.

Kian Ming turut berkata, beberapa cabaran paling besar yang akan dihadapi menteri sukan baharu adalah akan menguruskan pelbagai persatuan sukan kebangsaan yang sering dikaitkan dengan politik, berkhidmat dengan kekurangan dana, dan mengeluarkan idea yang kreatif untuk mempromosikan gaya hidup sukan.

Dalam pada itu, beliau juga memuji bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di atas inisiatif FitMalaysia yang mempromosikan gaya hidup sihat.

Artikel Sebelum

Justo jumpa Tun M

Artikel Berikut

Artikel Lain