suria

Kepulangan Najib ditunggu

Najib mengacau bubur lambuk ketika menghadiri Program Mengacau Bubur Lambuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) Parlimen Pekan di kediaman beliau, Seri Kenangan di Pekan, Pahang pada Ahad. Foto Bernama

PEKAN: Kunjungan pertama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke Pekan pada Ahad selepas PRU14, 9 Mei lalu seakan dinantikan rakyat di daerah ini.

Najib tiba di kediaman mereka di Seri Kenangan di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, selepas 3 jam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Ketibaan mereka disambut kepemimpinan Umno Bahagian Pekan dan penduduk setempat.

Najib berkata, beliau kembali ke Pekan kerana rakyat mahu beliau pulang.

"Mereka tunjuk penghargaan untuk semua yang saya buat dan terus menyokong saya.

“Mereka mahu saya terus berkhidmat kepada mereka sebagai ahli Parlimen. Saya saya bersyukur pulang ke sini,” katanya ketika ditemui media yang menunggu dia kediamannya sejurus tiba tengah hari Ahad.

Sementara itu, Najib yang tiba di Dewan Amphitheater, Bangunan Umno Pekan jam 5 petang menerima sambutan meriah oleh Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) dan Majlis Permuafakatan NGO Parlimen Pekan sebagai tanda sokongan.

Dalam ucapan perasmiannya, Najib menghargai sokongan rakyat yang terus setia di belakangnya dan Umno khususnya.

Malah beliau terharu melihat kesetiaan ahli Umno Pekan yang hadir memberikan sokongan sehinggakan ruang dewan penuh sesak sehingga ada yang terpaksa bersila di hadapan pentas.

“Masa saya jadi Perdana Menteri dahulu, keadaan ini (penuh sesak) jarang berlaku tapi dalam keadaan saya yang sudah tidak mempunyai kuasa hari ini, dewan ini penuh sesak,” katanya.

Najib meninggalkan Bangunan Umno Pekan kira-kira pukul 6.15 petang selepas selesai Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Umno Pekan.

Beliau dijadualkan menyertai majlis berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih di Seri Kenangan. - Sinar Harian

Najib Tun Razak, Pekan

Artikel Lain