suria

Malaysia bantah pembukaan rasmi kedutaan AS di Baitulmuqaddis

Pantulan imej bendera Amerika Syarikat dan Israel di Jerusalem bagi menandakan pembukaan rasmi kedutaan AS secara rasmi di Baitulmaqdis ppada Isnin. Foto AFP

KUALA LUMPUR: Malaysia membantah keras keputusan Amerika Syarikat membuka kedutaan negara itu secara rasmi di Baitulmuqaddis pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, Malaysia dengan teguhnya percaya bahawa langkah ini akan menjejaskan dan membahayakan lagi usaha ke arah mencari penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan terhadap konflik Palestin-Israel.

"Ia akan membawa kesan buruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan rantau itu tetapi akan meniupkan  sentimen dan menghalang rundingan damai pada masa depan," kata kenyataan itu.

Kementerian Luar menarik perhatian bahawa pembukaan kedutaan-kedutaan lain akan  memburukkan lagi keadaan.

"Malaysia ingin mengulangi pendirian tegasnya bahawa penyelesaian dua negara, yang menyaksikan  rakyat Palestin dan Israel hidup bersama secara aman, berdasarkan sempadan sebelum perang 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin, adalah satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju terhadap konflik Palestin-Israel," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan semua  rakan dalam usaha  mencari penyelesaian yang adil lagi berkekalan terhadap konflik berkenaan. - Bernama

Wisma Putra, Baitulmuqaddis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain