suria

Shafie tidak mengaku kalah, enggan iktiraf kerajaan baharu Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak akan mengaku kalah kepada Barisan Nasional (BN), yang secara rasmi membentuk kerajaan di negeri itu pada Khamis.

Bersama DAP dan PKR, Warisan mahu menjadi pasukan pembangkang yang kukuh dengan hampir separuh daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kami tidak akan menyerah kalah," katanya pada sidang media, Jumaat.

Warisan memenangi 35 kerusi pada proses kiraan pertama oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, bagaimanapun Shafie mendakwa jumlah itu berkurangan selepas kiraan semula dilakukan beberapa kali.

"Saya kesan dengan apa yang berlaku," katanya.

Selain itu, Warisan juga tidak mengiktiraf  kerajaan Sabah yang dibentuk malam semalam sebagai  kerajaan yang sahih.

Beliau berkata, ini kerana penubuhan kerajaan baharu yang diterajui Barisan Nasional (BN) Sabah melalui Tan Sri Musa Aman itu tidak mendapat kuasa mutlak untuk membentuk kerajaan negeri itu.

“Kerajaan yang dibentuk semalam itu tidak mempunyai jumlah (kerusi Dewan Undangan Negeri) yang cukup. Saya tahu Parti Pertubuhan Pasokmmogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) telahpun menyatakan pendirian mereka (bergabung dengan Warisan).

“Saya juga telah menghantar surat kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin mengenai perkara ini (sokongan UPKO terhadap Warisan) dan kita mempunyai jumlah yang cukup (untuk membentuk kerajaan Sabah),” katanya.

Shafie berkata, Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan beberapa lagi pemimpin parti itu menyatakan bahawa mereka telah keluar BN dan tiada pakatan dengan  Musa.

Pada Khamis, Madius menemui Mohd Shafie di kediamannya di sini sebelum mengadakan sidang media mengumumkan keputusan UPKO  keluar daripada BN dan membentuk kerajaan campuran dengan Warisan.

Bukan fikir jawatan tetapi rakyat Sabah

Shafie berkata fokus beliau kini ialah perjuangan untuk rakyat Sabah bukan memikirkan jawatan dalam kerajaan persekutuan.

"Pendirian saya tetap dan selari iaitu memperjuangkan rakyat Sabah dan bukan perjuangan peribadi. Saya memikirkan tentang rakyat Sabah, saya bukan memikirkan tentang jawatan sama ada untuk jadi menteri (apa-apa jawatan menteri), atau timbalan perdana menteri, itu bukan keutamaan saya.

"Yang penting landasan saya ketika ini adalah untuk berkhidmat kepada orang Sabah kerana saya tidak mahu kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini musnah," katanya ketika diminta mengulas sama ada akan menerima jawatan ditawarkan di peringkat kerajaan persekutuan.

Shafie memenangi kedua-dua kerusi Parlimen (Semporna) dan Dewan Undangan Negeri (Senallang) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, membolehkan beliau ke persekutuan sebagai menteri atau mengetuai kerajaan Sabah dengan sokongan gabungan parti negeri.

Dalam pada itu, Shafie berkata kepercayaan yang diberikan rakyat Sabah kepadanya selama ini menjadi 'kejutan' kepada Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lalu, UPKO menang lima kerusi DUN dan satu kawasan Parlimen.

Bagaimanapun kelima-lima  wakil DUN parti itu -- Ewon Benedict (Kadamaian), Datuk  Abidin  Madingkir  (Paginatan), Datuk Bobbey Ah Fan Bin Suan (Nabawan), Datuk Masiung  Banah (Kuamut) dan Datuk Limus Juri (Kuala Penyu) -- dilapor tidak akan  menyertai  pucuk pimpinan UPKO untuk membentuk kerajaan dengan Warisan.

Semalam Parti  Solidariti  Tanah Airku (Star) menyatakan pendirian untuk bersama dengan BN menjadikan jumlah DUN parti gabungan itu bertambah kepada 31 kerusi.

Musa yang Pengerusi BN malam tadi mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri sekali gus menubuhkan kerajaan negeri campuran baharu dengan Star.

Keputusan PRU14 menyaksikan BN Sabah memperoleh 29 kerusi, Parti Warisan (21), DAP (6)  dan PKR (2).-- Bernama

Shafie, Sabah, Warisan

Artikel Sebelum

BN Sabah dalam bahaya!

Artikel Berikut

Artikel Lain