suria

Shahril Hamdan susut 8kg, habis lah dah tak sado!

Shahril Sufian Hamdan. Foto Twitter ShahrilHamdan

PETALING JAYA: Sebagai calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), segala persiapan rapi perlu dilakukan sepanjang tempoh kempen selama 11 hari.

Memasuki hari terakhir berkempen menjelang beberapa jam menjelang hari mengundi pada Rabu, pastinya banyak pengorbanan yang dilakukan calon yang mencuba peluang untuk bergelar Yang Berhormat.

Seperti calon muda Barisan Nasional (BN), Shahril Sufian Hamdan, beliau juga menghabiskan banyak masa turun padang bertemu dengan rakyat di kawasan Parlimen Kuala Langat yang ditandinginya pada pilihan raya umum kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) melihat Shahril (kiri) yang diperkenalkan kepada orang ramai di Pulau Carey, 1 Mei lalu. Turut hadir Pengerusi BN Negeri Selangor Tan Sri Noh Omar (tengah). Foto Bernama

Pemuda berusia 32 tahun yang sebelum ini menjadikan latihan di gim sebagai rutin hidupnya memberitahu beliau kini kehilangan lapan kilogram sejak berkempen.

“Hilang lapan kilogram, kebanyakannya muscle mass (jisim otot),” katanya di laman sosial Instagram, sambil bergurau bahawa selama ini beliau berusaha keras untuk membina otot badannya.

'Posting' di akaun Instagram Shahril pada hari terakhir berkempen sebelum hari mengundi.

Namun beliau yang lebih dikenali sebagai Shahril Hamdan menyifatkan pembabitannya dalam politik merupakan satu usaha yang bermanfaat.

Pemuda ini adalah graduan sarjana muda jurusan Ekonomi di Universiti Manchester dan sarjana dalam bidang Etnik Kaum dan Kajian Pasca-kolonial di London School of Economics and Political Science.

Malahan Exco Pemuda Umno ini berkata, banyak perkara yang diperoleh berdasarkan pengalamannya seperti teman-teman baharu, ilmu dan diharapkan juga kebijaksanaan.

Shahril semasa sesi bertemu rakyat di Kuala Langat. Foto Facebook Shahril Hamdan

Beliau turut menasihatkan rakyat bijak membuat keputusan dalam memilih masa depan di kawasan masing-masing dan negara pada hari mengundi termasuk menentukan nasib calon-calon yang bertanding.

“Kepada semua ahli politik yang bertanding mewakili parti mana sekalipun, selamat maju jaya. Walaupun berbeza pegangan politik, kita semua berkongsi satu sifat iaitu semuanya ada kemahuan untuk melakar masa depan yang lebih baik untuk negara. 

“Adakalanya kita bercakaran tapi hakikatnya kita semua rakyat Malaysia dahulu sebelum penggiat politik kemudian,” ujar Shahril sambil berharap hari mengundi di seluruh negara pada Rabu berjalan lancar. 

Shahril (kanan) berucap kepada penyokong dan jentera BN di Seri Cheeding, Banting. 

Pada PRU14, Shahril bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang wakil PAS, Datuk Dr Yahya Baba dan calon Pakatan Harapan dari PKR, Xavier Jayakumar.

Pada PRU lepas, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid daripada PKR mempertahankan kerusi tersebut dengan mengalahkan Kapten (B) Sharuddin Omar (BN-Umno) dan calon Bebas, S. Kottappan dengan majoriti 5,358 undi.

Shahril Hamdan

Artikel Lain