suria

Orang Sarawak Pasir Gudang sebahagian keluarga Bangsa Johor

Khaled Nordin mengadakan kunjungan terhadap masyarakat Sarawak yang menjalankan perniagaan di Pasar Borneo Taman Rinting pada Sabtu. - fotoBERNAMA

JOHOR BAHRU: Pelantikan jawatan Ketua Masyarakat Sarawak di Pasir Gudang adalah bukti pengiktirafan kerajaan negeri Johor terhadap peranan dan pentingnya golongan masyarakat berkenaan terhadap pembangunan ekonomi dan rakyat Bangsa Johor secara keseluruhannya.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembinaan Pasar Borneo juga adalah bukti kukuh keprihatinan kerajaan negeri terhadap permintaan masyarakat Sarawak yang menetap dan bekerja di dalam kawasan Pasir Gudang.

“Kami telah melantik seorang Ketua Masyarakat dan kami akan tambah jawatan ini kerana kerajaan negeri mengiktiraf peranan dan kepentingan masyarakat ini di dalam kawasan kita.

“Kita sentiasa mendengar dan memenuhi kehendak masyarakat Sarawak di Pasir Gudang...pembinaan Pasar Borneo ini adalah bukti kukuh perkara berkenaan dan ia dapat dicapai kerana kita mempunyai hubungan yang baik,” katanya ketika berucap pada program Walkabout Pasar Borneo, di Taman Rinting, di sini Sabtu.

Tambahnya, masyarakat Sarawak juga merupakan antara penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) di Pasir Gudang dan sumber manusia yang penting di kawasan industri Pasir Gudang.

“Saya difahamkan ada parti warna lain yang cuba datang memikat orang Sarawak tetapi alhamdulillah orang-orang Sarawak tidak mahu warna lain selain daripada warna ‘biru tua' ini. Ini kerana hubungan kekeluargaan kita yang begitu kuat dan ramai orang Sarawak yang telah menetap di sini dan memberi sokongan penuh terhadap saya dan BN.

“Untuk itu saya menyeru masyarakat Sarawak untuk terus bersama-sama dengan kita di BN untuk membangunkan ekonomi negeri, bukan hanya untuk kita tetapi anak-anak mereka yang telah lahir di sini dan menjadi orang Johor,” katanya.

Beliau kemudiannya meluangkan masa hampir setengah jam melihat barangan dan makanan eksotik yang dijual di Pasar Borneo selain beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga pasar berkenaan. - BERNAMA

Bangsa Johor, PRU14, Khaled Nordin

Artikel Sebelum

Artikel Lain