'Gila gajet' punca Generasi Z lemah kuasai BM - Semasa | mStar

'Gila gajet' punca Generasi Z lemah kuasai BM

KUALA LUMPUR: Penguasaan bahasa kebangsaan yang lemah dalam  kalangan  Generasi Z, yang lahir dari tahun 1995 ke atas, amat membimbangkan, kata Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan (gambar).

Beliau berkata ini antaranya berpunca akibat trend ‘gila gajet' yang melanda golongan berkenaan, yang menyebabkan mereka kurang bersosial sehingga menyebabkan mereka bersikap pasif, seterusnya gagal berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dengan baik.

“Masalah ini amat membimbangkan, lebih menyedihkan komunikasi harian mereka dilihat cenderung dipengaruhi gaya bahasa dari internet dan aplikasi menerusi gajet.

Mereka juga dilihat hilang minat untuk membaca malah isu ini semakin sukar menemui titik penyelesaian apabila golongan ibu bapa sendiri kurang mengawasi pengunaan gajet dalam kalangan anak mereka,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini, Selasa.

Zurinah, 69,  yang merupakan wanita pertama menerima anugerah Sasterawan Negara berkata penguasaan  Bahasa Melayu dalam kalangan Generasi Z secara khasnya dan masyarakat Malaysia secara amnya amat penting dalam membina dan mengukuhkan jati diri bangsa.

“Perkara ini tidak boleh dianggap remeh hanya kerana kita mahu ‘mengikut peredaran teknologi', Bahasa Melayu merupakan kebanggan setiap rakyat Malaysia dan seharusnya dijaga, dipulihara dan digunakan sebetulnya,” katanya.

Tambahnya, antara solusi yang dilihat bersesuaian dalam membantu meningkatkan kembali minat membaca masyarakat Malaysia serta penggunaan Bahasa Melayu ialah dengan memperbanyakkan aplikasi berteraskan bahan bacaan dalam bahasa kebangsaan di telefon pintar.

“Melihat kepada fenomena ‘gila gajet' masyarakat, ada baiknya kita memperbanyakkan aplikasi dalam platfrom itu kerana seperti semua sedia maklum, mereka lebih banyak menghabiskan masa menggunakan telefon pintar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, anak jati Alor Setar, Kedah itu berkata beliau baharu menerbitkan buku bertajuk Mustika Pantun, satu naskah yang berkisarkan panduan mengarang pantun disertai contoh-contoh pantun khasnya pantun tradisi.

Selain itu, Zurinah kini dalam proses menghasilkan sebuah buku berjudul ‘Journey through Rose and Poetry' yang berkisarkan perjalanan hidupnya sehingga diangkat menjadi Sasterawan Negara pada 2015.

Hasil karya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  itu dijangka akan menemui pembaca pada pertengahan tahun ini.

Artikel Sebelum

FashionValet masuk bursa saham Malaysia

Lebih Artikel

Coklat tumpah, panggil bomba!

Pilu tiga ibu rayu anak pulang