suria

Zahid pertahan kerusi Parlimen Bagan Datuk

Ahmad Zahid melambaikan tangan kepada orang ramai selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Simunjan, Sarawak pada Isnin. foto BERNAMA

IPOH: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dijangka menghadapi persaingan sekurang-kurangnya empat penjuru yang melibatkan calon Pakatan Harapan, PAS dan Bebas.

Beliau yang berusia 65 tahun itu telah bertanding di kerusi Bagan Datuk untuk kali keenam sejak 1995.

Pada PRU13, Ahmad Zahid menewaskan calon PKR Madhi Hasan dengan memperoleh majoriti 2,108 undi.

Pada 17 April lalu, Datuk Ibrahim Mat Zin, 68, atau dikenali sebagai Raja Bomoh mengumumkan hasratnya bertanding di Parlimen itu manakala PAS akan meletakkan Ata Abdul Muneim Hasan Adli dan Pakatan Harapan pula masih belum mengumumkan calonnya bagi kerusi berkenaan.

Semasa mengumumkan senarai calon di kediaman rasminya, Pengerusi BN Perak Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pada Selasa berkata BN Perak akan bertanding bagi 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Ahmad Zahid yang juga merupakan anak jati Bagan Datuk telah membawa pelbagai kemajuan ke daerah tersebut termasuk dalam sektor pendidikan, perindustrian dan pelancongan.

Pada 9 Januari tahun lalu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengisytiharkan Bagan Datuk sebagai daerah ke-12 di Perak. - BERNAMA

Ahmad Zahid Hamidi, Bagan Datuk

Artikel Lain