suria

Permit khas jamin kelancaran jemaah umrah ke Taif

Jemaah umrah berpeluang melawat Masjid Ku'un yang menjadi lokasi di mana Nabi Muhammad SAW menunaikan solat ketika berada di Taif.

TAIF: Agensi pengendali umrah disaran mendapatkan permit khas daripada Jabatan Pelancongan Arab Saudi sebelum membawa jemaah berziarah di kota peranginan itu.

Pemandu Pelancong Am Jabatan Pelancongan Arab Saudi, Abdulaziz Fahad Aljuaid berkata, hanya agensi yang memperoleh permit boleh melancong di Taif tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata, agensi pengendali yang membawa jemaah umrah tanpa permit akan dihalang menziarahi Taif, manakala pemandu bas boleh didenda sehingga SR5,000.

"Tindakan itu boleh dikenakan di pintu masuk atau check point ke Taif.

"Setakat ini,  tiada larangan membawa pelancong termasuk jemaah umrah ke Taif kerana ini dapat membantu sektor pelancongan di negara ini," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, seorang pemandu pelancong akan ditugaskan untuk menyertai rombongan jemaah umrah yang berziarah ke Taif jika agensi pengendali mendapat permit.

Antara tempat dikunjungi ialah masjid Abdullah Abbas, masjid Ku'un muzium As-Shareef, kilang bunga ros dan pasar buah-buahan.

Selain itu tempat bersejarah yang akan hanya dilalui ialah kebun Adas dan rumah Abdullah Abbas.

Taif, terletak kira-kira 100 kilometer dari kota Makkah menyimpan sejarah duka kerana kedatangan Rasulullah untuk berdakwah tidak diterima oleh penduduk bandar itu.

Justeru,  sebahagian besar agensi pengendali umrah menawarkan peluang ziarah Taif kepada pelanggan umrah dengan bayaran tambahan kira-kira SR150 seorang.

Bagaimanapun, difahamkan bukan semua pengendali umrah mendapat permit sehingga mengundang masalah.

Baru-baru ini, mesej mengenai larangan ziarah Taif tular di kalangan netizen tetapi kunjungan sekumpulan jemaah umrah dari Malaysia ke   Taif pada Ahad terbukti larangan itu tidak berasas.

Selain warga Malaysia,  ramai lagi warga asing berziarah di kota bercuaca nyaman itu.

Taif, umrah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain