suria

Kes liwat pelajar tahfiz disebut semula 23 Mei

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini Isnin menetapkan 23 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes seorang sukarelawan maahad tahfiz yang berdepan 38 pertuduhan melakukan jenayah seksual, termasuk meliwat pelajar tahfiz berkenaan, sejak tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali membuat keputusan itu setelah Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar dan Peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar, yang mewakili tertuduh, memaklumkan masih belum mendapat sebarang laporan perubatan mangsa daripada pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Nasrul Arman Ahmad, 41, berhadapan 38 pertuduhan jenayah seksual termasuk 29 pertuduhan meliwat enam pelajar di pusat tahfiz itu dan rumahnya di Taman Selamat, Teluk Sisek, di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Nasrul Arman juga didakwa dengan sembilan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 kerana melakukan gangguan seksual dan mencabul empat pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan. - BERNAMA

kes liwat, pelajar tahfiz

Artikel Lain