Kegembiraan pelajar tahfiz berkelah bertukar tragedi - Semasa | mStar

Kegembiraan pelajar tahfiz berkelah bertukar tragedi

Sebahagian daripada penghuni Markaz Al Aitam Padang Pak Amat, Pasir Puteh yang mandi di pantai Kuala Kandis dan menyebabkan seorang daripada mereka meninggal dunia kerana lemas pagi Sabtu. Foto Sinar Harian

BACHOK: Seorang pelajar meninggal dunia di hospital selepas dia diselamatkan daripada mati lemas ketika mandi bersama 40 pelajar lain di pantai berhampiran Kuala Kandis dekat sini, pagi Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 9.57 pagi dan tiba di lokasi jam 10.21 pagi bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.

Beliau berkata, ketika kejadian kira- kira pukul 9.30 pagi itu, 42 penghuni Markaz Tahfiz Al Aitam, Pusat Pengajian Agama dan Penginapan Anak- Anak Yatim, Padang Pak Amat, Pasir Puteh itu mandi bersama tiga orang guru pengiring.

“Ketika kami tiba dua mangsa yang didapati lemas Khairudin Sayuti, 10, dan kedua Asyraf Zahadi,13, sudah dibawa naik ke daratan oleh guru pengiring mereka untuk dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh.

"Namun mangsa pertama, Khairudin Sayuti,10, telah disahkan meninggal dunia di hospital.

"Saya dimaklumkan mereka dah buat tanda dengan tali di air namun ia tidak mencukupi untuk mengawal sejumlah pelajar yang begitu ramai tambahan pula hari ini laut agak bergelora," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Semua penghuni markaz itu dipercayai bersama rombongan asrama itu datang ke pantai berkenaan pagi tadi untuk berkelah bersama tiga guru pengiring.

Beliau berkata, pegawai operasi membuat tinjauan lokasi untuk memastikan tiada sesiapa di air sebelum menyerahkan tugas kepada anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok yang turut hadir bersama pegawai dan tujuh anggota.

Azhar berkata, pesisir pantai dari Tok Bali, Pasir Puteh, Bachok sehingga Kuala Besar, Kota Bharu adalah tidak selamat untuk mandi manda memandangkan ia mempunyai banyak ‘paloh’.

Katanya, kebanyakan yang lemas adalah orang luar yang tidak mengenali keadaan paloh dan ia menyebabkan hampir setiap bulan terjadi kes lemas sama ada di Tok Bali, Bachok atau di pesisir pantai daerah Kota Bharu.

“Sepanjang pantai negeri kita ini memang banyak paloh yang orang biasa tak tahu bagaimana keadaan paloh itu. Bila mandi dalam air, ada yang terjatuh, terperangkap dan panik. Ia menjadikan kes lemas di pantai sentiasa berlaku.

“Kita sudah buat kempen mengenai perkara ini tetapi terdapat segelintir orang ramai yang tidak endah akan perkara sebegini, terutamanya yang datang dari luar kawasan,” katanya. - Sinar Harian

Artikel Sebelum

Ahli PKR bantah Tun M guna logo parti

Artikel Berikut

Janji taja kenduri kahwin

Artikel Berkaitan

Azrinaz akhiri zaman janda

mahathir

Memali: Tun M mohon maaf