suria

'Order bos?' tanya 'anne' KJ

PETALING JAYA: Pada mulanya beliau seorang pemandu teksi, selepas itu menjadi pekerja pembuangan sisa Alam Flora dan kini, menjadi pelayan di restoran mamak pula.

Beliau ialah pelakon sambilan, tapi jika diperhatikan sebetulnya, anda pasti mengenali individu tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Mengenakan baju polo berona biru gelap dan apron kuning, Khairy dilihat mengambil dan menghantar pesanan serta mencuci meja makan dalam lakonan terbaharunya.

Malah, beliau turut menggunakan slang pelayan mamak yang pada kebiasaannya akan memanggil pelanggan dengan gelaran "boss" menerusi video manifesto pemuda Barisan Nasional.

Khairy sebelum ini berlakon sebagai pemandu teksi bermeter menerusi projek filem pendek 15 Malaysia arahan Benjy Lim dan Bahir Yeusuff, pada 2009.

Beliau turut melakonkan watak Ahmad Khairy Jamal Udeen Chowdury dari Chittagong, Bangladesh, pekerja pembuangan sisa Alam Flora menerusi video kesedaran awam pada 2016.

Dalam pada itu, video Barisan Nasional yang berdurasi 59 saat itu memaparkan dua rakan sekolah yang bertemu di gerai mamak selepas terpisah 15 tahun.

Menerusi babak itu, watak lelaki berkenaan berkata, dia bekerja sebagai juruteknik selama 15 tahun.

Watak wanita itu pula memberitahu bahawa lelaki itu boleh meningkatkan pendapatannya dengan mempelajari kemahiran baharu seperti rekaan laman web, perniagaan atas talian dan membuat 'coding'.

Malah, beliau turut mencadangkan supaya lelaki itu mengambil kelas untuk membantunya naik pangkat atau membolehkan dia membuat kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

Menerusi satu post Facebook, Khairy berkata, manifesto berkenaan menyentuh mengenai isu pasaran gaji, komisyen kerja, insentif untuk mempelajari kemahiran dalam talian dan perisian percuma untuk kegunaan kerja.

"Walaupun kita sudah mencapai banyak perkara dalam tempoh lima tahun, masyarakat kita masih gusar mengenai tahap bayaran sekarang.

"Saya dengar dengan jelas dan nyata. Disebabkan itu, meningkatkan jumlah gaji akan menjadi keutamaan Barisan Nasional jika kita terus mendapat mandat dari rakyat," ujar Khairy.

Manifesto pemuda itu dilancarkan awal bulan ini dan berkisar mengenai peluang pekerjaan dan latihan kemahiran, peningkatan pendapatan dan penambahbaikan kemahiran, pemerkasaan ekonomi untuk belia luar bandar, dana untuk usahawan muda, mengurangkan beban keluarga muda, meningkatkan kualiti hidup, dan memastikan peluang untuk keseluruhan segmen orang muda seterusnya memastikan mereka terus memainkan peranan untuk program Transformasi Kebangsaan 2050 (TN50).

Ini merupakan kali pertama Barisan memperkenalkan manifesto khusus untuk golongan muda.

A post shared by Khairy Jamaluddin (@khairykj) on

Khairy Jamaluddin

Artikel Lain