suria

Kerugian taman tema MAPS tidak libatkan dana awam

IPOH: Kerajaan negeri menafikan kerugian yang dialami taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) ketika ini melibatkan dana awam seperti yang didakwa Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata ini berikutan pegangan saham MAPS kini dimiliki tiga pihak iaitu PCB Development Sdn Bhd sebanyak 51 peratus, RSG MAPS Sdn Bhd (34.3 peratus) dan seorang individu (14.7 peratus).

"Kerugian MAPS adalah kerugian syarikat, ia tidak ada kena-mengena dengan duit tabung negeri, negeri tak belanja satu sen duit pun. Semuanya duit daripada syarikat penyenaraian awam dan pembiayaan daripada  bank, tak ada kaitan dengan dana awam.

"Kalau benar kita (kerajaan negeri) keluar duit mesti sudah dibentangkan dan perlu dapat kebenaran dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), mana boleh main suka-suka keluarkan duit," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media khas di MAPS di sini, Khamis.

Semalam, Koo Ham dalam satu sidang media mendakwa MAPS mengalami kerugian sebanyak RM24,088,644 pada tahun 2016 selain menyatakan kerugian yang dialami taman tema itu membabitkan wang rakyat.

Mengulas lanjut, Mohammad Zahir berkata kerugian yang dialami MAPS adalah kerugian sebelum operasi bagi tahun berakhir Jun 2016 dan taman tema itu baru sahaja beroperasi selama lapan bulan.

"Untuk Pre-operation 2016, ya benar MAPS alami kerugian sebanyak RM20 juta dan ini adalah kebiasaan bagi perniagaan taman tema, pulangan akan diperoleh dalam tempoh 10 tahun dan kita telah jangka perkara ini.

"Projek besar seperti ini normal tengoklah Disneyland, Universal Studios Singapura seperti ini juga, tidak mungkin sebelum operasi tiada perbelanjaan langsung...sebab itu perkara ini bukan satu isu," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir sekali lagi menjelaskan kewujudan MAPS telah membantu merancakkan ekonomi kawasan sekitar selain menerima kunjungan seramai 227,750 pelancong sejak beroperasi lapan bulan lepas.

“Boleh lihat di kawasan Meru Raya ini telah banyak pembangunan dan nilai hartanah di sini juga telah meningkat tiga kali ganda daripada RM30 satu kaki persegi telah melonjak kepada RM135 satu kaki persegi, MAPS telah memberi impak yang besar bukan sahaja kepada Ipoh malah Perak,” katanya.

Taman tema animasi yang dibina di kawasan seluas 21 hektar itu dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang pada hari bekerja dan dilanjutkan sehingga 10 malam pada cuti hujung minggu, cuti umum serta cuti sekolah. MAPS kini menawarkan bayaran masuk promosi bermula daripada RM50.-- Bernama 

MAPS, Ngeh

Artikel Lain