suria

Projek terowong dasar laut boleh dibatal tanpa pampasan

GEORGE TOWN: Projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion yang dirancang dibina di Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang klausa pampasan jika dibatal, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow.

Beliau berkata perkara itu boleh dilihat dalam kenyataan Pengerusi Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada 2016.

Sehubungan itu, beliau menyelar Ketua Menteri Lim Guan Eng yang didakwa tidak memahami kontrak projek mega terowong dasar laut ditandatanganinya bagi pihak kerajaan negeri pada 2013.

"Apa yang dia (Lim) tandatangan pun dia sendiri tak tau. Jelas ternyata dalam perjanjian projek itu yang mana tiada tuntutan akan dibuat syarikat pemaju sekiranya projek berkenaan dibatal melainkan hanya bagi kerja-kerja yang sudah dijalankan.

"Menurut kenyataan Pengerusi Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada 2016, syarikat itu masih boleh membuat tuntutan bagi kerja yang dilaksanakan walaupun tidak ada klausa dalam kontrak dengan kerajaan negeri jika projek terowong dasar laut itu dibatalkan," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Ahad lepas, Lim dilaporkan berkata BN perlu membayar pampasan sekiranya membatalkan projek terowong dasar laut itu.

BN, dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berjanji akan membatalkan projek terowong dasar laut jika diberi mandat memerintah Pulau Pinang.

"Projek terowong dasar laut itu pun belum dimulakan lagi dan tiada kerja-kerja pembinaan yang dilakukan oleh pemaju, jadi pampasan apa perlu dibayar jika BN mahu membatalkannya?," kata Teng.

Beliau berkata BN meneliti pelbagai aspek sebelum membuat pengumuman akan membatalkan projek terowong serta tiga lebuh raya utama yang dirancang kerajaan pimpinan DAP.

Menurutnya, projek ketiga-tiga lebuh raya itu hanya menghubungkan beberapa kawasan negeri ini ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan tidak mampu meleraikan kesesakan trafik di beberapa 'hotspot' sesak di negeri ini khususnya pada waktu puncak.

Terdahulu, Teng yang juga Pengerusi Gerakan negeri turut mempersoal di manakah pelan pembangunan negeri dilancarkan pada 2013 yang dinamakan sebagai pelan 'Paradigm'.

"Sehingga hari ini, tiada pelan pembangunan induk yang dihasilkan Lim untuk mentadbir negeri ini...pelan rancangan struktur 2020 adalah hasil BN dan diguna pakai oleh Lim," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain