suria

Jaga adab dan tatasusila ketika berkempen

PASIR PUTEH:  Jentera parti politik yang akan berkempen pada pilihan raya umum  ke-14 (PRU14) perlu menjaga adab dan tatasusila dengan tidak menimbulkan insiden sehingga boleh  menjejaskan ketenteraman dan keharmonian di kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dalam keghairahan berkempen, mereka perlu mengawal tingkah laku dan emosi serta tidak menyebarkan fitnah terhadap  pihak lawan.

“Oleh kerana ingin mengangkat kemenangan seseorang calon, janganlah sewenang-wenangnya mengaibkan orang lain dengan berita yang tidak benar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan  Kelas Abad 21 Tan Bee Khiang OKB di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khai Chih di sini, Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU14 ialah pada 9 Mei, tarikh penamaan calon pada 28 April dan 5 Mei sebagai tarikh pengundian awal.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (OKB), Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata pihaknya berjaya mengumpul dana sebanyak RM100,000 sumbangan pelbagai pihak bagi Kelas Abad 21.Beliau berkata dana itu akan diagihkan kepada 15 SRJKC di seluruh Kelantan.-Bernama

PRU14

Artikel Lain