suria

Sekolah boleh ambil cuti ganti sehari sebelum pengundian

KUALA NERANG: Sekolah yang digunakan sebagai pusat mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini dibenarkan mengambil cuti berganti sehari sebelum hari pengundian, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata perkara itu dibenarkan mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 2 1995: Persediaan Bagi PRU,  yang membolehkan pengetua atau guru besar memohon cuti berganti melalui pengarah pendidikan negeri masing-masing.

"Bagaimanapun ia hanya terhad kepada sekolah yang digunakan sebagai pusat pengundian manakala cuti berganti hanya boleh diambil sehari sebelum hari pengundian, bukannya selepas hari pengundian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan 'Sokongan Komuniti Untuk Sekolah' di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang pada Ahad.

Beliau mengulas permintaan Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia  yang meminta kementerian membenarkan sekolah mengambil cuti berganti bersempena  PRU14 selepas hari pengundian.

Sehubungan itu, Mahdzir meminta pengetua dan guru besar agar membuat permohonan secepat mungkin sekiranya ingin mendapatkan cuti berganti tersebut.

Sebanyak  6,971 sekolah di seluruh negara akan digunakan sebagai pusat pengundian pada 9 Mei. -Bernama

cuti ganti, PRU

Artikel Lain