suria

67,000 pemandu teksi terima kad bantuan Teksi 1Malaysia

Najib (tiga, kiri) menyampaikan replika Kad Bantuan Teksi 1Malaysia bernilai RM800 kepada Wakil Pemandu Teksi Negeri Perlis (empat, kiri) pada Majlis Penyampaian Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di MAEPS, Jumaat. Turut sama Nancy (dua, kiri) dan Isa (tiga, kanan). Foto Bernama

SERDANG: Lebih 67,000 pemandu teksi seluruh negara menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia yang mengandungi nilai RM800 untuk pembelian petrol atau gas asli (NGV) di stesen minyak Petronas.

Pada majlis penyerahan Kad Bantuan Teksi 1Malaysia itu di sini Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, melalui kad bantuan itu, pemandu teksi juga mendapat kemudahan lain di bawah program kesetiaan Mesra Petronas, termasuk perlindungan insurans kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kad itu akan diagihkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Kementerian Kewangan, dan melibatkan dana sebanyak RM53.6 juta.

"Saya percaya dengan penggunaan kad bantuan itu, ia dapat mengurangkan kos operasi harian dan dengan itu meningkatkan lagi pendapatan," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kad bantuan itu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Majlis itu dihadiri lebih 10,000 pemandu teksi dari seluruh negara. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk, Seri Nancy Shukri, Pemangku Pengerusi SPAD, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Najib berkata, nilai RM800 dalam kad bantuan itu akan dikaji dari semasa ke semasa bergantung kepada kemampuan kerajaan.

"Kerajaan tidak akan melupakan golongan pemandu teksi yang sentiasa dekat di hati kerajaan," katanya.

Pada majlis yang sama, Najib turut mengumumkan bahawa semua pemandu teksi di seluruh negara yang layak memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan menerima kelulusan secara automatik.

Katanya, ini kerana kerajaan mendengar keluhan dan rintihan kumpulan pemandu teksi bahawa ada dalam kalangan mereka gagal menerima BR1M kerana berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai pemilik syarikat.

Di Langkawi misalnya, kata perdana menteri, daripada 982 pemandu teksi yang memohon BR1M, hanya 195 layak manakala 425 orang gagal kerana mereka berdaftar dengan SSM.

"Kerajaan berpendapat bahawa hal ini sedikit tidak adil telah berlaku dan syarat ini bukan kehendak kerajaan sebenarnya. Jadi, kerajaan memutuskan semua pemandu yang layak pohon BR1M akan menerima kelulusan secara automatik.

"Saya sedar pemandu teksi bekerja lebih 12 jam. Apa yang diumumkan hari ini iaitu Kad Bantuan Teksi 1Malaysia dan BR1M untuk warga pemandu akan memberi kelegaan kepada semua," katanya.

Menurut Najib, kerajaan telah meluluskan 11 inisiatif khas di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang dirangka oleh SPAD bagi memperkenalkan pembaharuan untuk mewujudkan persekitaran industri yang adil bagi pemandu, pengendali dan pengguna.

"Transformasi Pengangkutan Awam Darat sentiasa menjadi satu keutamaan bagi kerajaan dan kerajaan telah meminta SPAD untuk mencari jalan serta membuat cadangan untuk membantu pemandu teksi.

"Sebagai langkah pertama untuk mengurangkan beban, kerajaan telah bersetuju menyerahkan lesen individu kepada pemandu yang akan keluar daripada sistem pajak," katanya.

Najib menyifatkan permasalahan dan ketidakadilan yang berlaku kepada para pemandu teksi khususnya di bawah modal pajak yang begitu membebankan sebagai sejenis perhambaan zaman moden.

Selain itu, katanya, kerajaan juga telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pemberian Geran Tunai Kerajaan bernilai RM5,000 kepada penerima lesen teksi individu yang layak dan telah menamatkan tempoh kontrak pajak ketika pembentangan Bajet 2017.

"Dalam Bajet 2018, saya turut mengumumkan bahawa para pemandu teksi berdaftar dan layak yang berhasrat untuk menyertai perkhidmatan e-hailing akan juga diberikan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kereta baharu," katanya.

Sejak pelaksanaan pemberian permit teksi individu kepada pemandu teksi yang menamatkan kontrak pajak, Najib berkata, seramai 2,533 pemandu teksi telah menerima lesen teksi individu dan sebanyak 643 geran tunai kerajaan yang bernilai RM3.215 juta telah disalurkan kepada yang layak.

Memandangkan sebahagian besar warga pemandu tidak dilindungi insurans, Najib berkata kerajaan turut menyediakan geran kewangan khas kerajaan sebanyak RM60 juta untuk memulakan pelaksanaan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi memberikan perlindungan kepada pemandu teksi dalam pembentangan Bajet 2017.

"Di bawah skim ini, pemandu teksi perlu membuat caruman pada kadar minimum RM157 iaitu hanya RM13.08 sebulan. Skim ini menyediakan faedah wang tunai kepada pemandu teksi dan tanggungan sekiranya berlaku kejadian di luar jangkaan seperti kemalangan dan menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani atau latihan vokasional," katanya.

Najib memberitahu kesemua itu merupakan keprihatinan kerajaan kerana telah melancarkan pelbagai program dan inisiatif secara inklusif bagi membantu pemandu teksi di seluruh negara serta sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa tiada seorang rakyat Malaysia akan ketinggalan pada arus pembangunan negara.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemandu teksi agar memainkan peranan penting dalam menonjolkan imej positif Malaysia kepada para pelancong kerana mereka merupakan barisan hadapan dalam industri pelancongan negara.

"Jadilah pemandu teksi yang selalu mesra, jujur dan memberi layanan yang baik, maka anda semua boleh dianggap sebagai duta kecil kepada Malaysia. Inilah hasrat kita supaya pemandu teksi dapat membantu kerajaan sejajar dengan transformasi yang sedang dilalui oleh negara," katanya. - Bernama

Teksi 1Malaysia, SPAD, teksi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain