suria

Terima 30 jahitan gara-gara tali tangsi

Paparan skrin sebuah halaman yang tular di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan kemarahan netizen.

PETALING JAYA: Polis menafikan wujud perbuatan khianat dalam kes membabitkan seorang penunggang motosikal cedera akibat tali tangsi yang dipasang di laluan motosikal di Lebuhraya Sprint berdekatan Kampung Kayu Ara, Damansara sepertimana berita tular pada Isnin.

Terdahulu, berita yang tular itu memaparkan seorang penghantar makanan berusia 23 tahun cedera di bahagian dagu selepas motosikal dinaiki terlanggar tali tangsi yang didakwa dipasang pihak tidak bertanggungjawab ketika melalui laluan motosikal kira-kira pukul 5.07 petang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, selepas mangsa membuat laporan polis, pegawai penyiasat telah ke lokasi yang dimaksudkan bersama mangsa.

"Siasatan mendapati tiada unsur-unsur khianat dalam kejadian itu.

"Kita dapati pada tiang lampu no. B2-2B3 terdapat banyak helaian benang atau benang kaca serta sisa-sisa ikatan iklan yang tidak dibuang serta dibersihkan," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Menurutnya, ikatan iklan sepanjang kira-kira 3.2 meter dibiarkan dalam keadaan berjuntai ditiup angin.

"Ketika mangsa melalui kawasan itu, bahagian berjuntai itu telah mengena pada bahagian dagu mangsa menyebabkannya cedera.

"Mangsa mendapat rawatan sebagai pesakit luar di PPUM dan menerima 30 jahitan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, mangsa turut membuat laporan polis bagi menuntut pampasan daripada pihak yang berkenaan.

Justeru itu, Azman menggesa pihak yang bertanggungjawab segera mengambil tindakan ke atas iklan atau banner haram serta membersihkannya dengan baik bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang lagi. - Sinar Online

Artikel Lain