suria

PM sampaikan dua berita gembira kepada penduduk Semporna

Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan kerja ke Semporna. -fotoBERNAMA


SEMPORNA: Datuk Seri Najib Tun Razak, yang melakukan lawatan kerja pertamanya ke Semporna pada Isnin, menyampaikan dua khabar gembira kepada penduduk di daerah ini, sebagai melambangkan keprihatian Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Semporna.

Dalam ucapan ketika melancarkan Pusat Pelancongan Antarabangsa Semporna, perdana menteri mengumumkan projek menaik taraf jalan raya sepanjang 18 kilometer dari bulatan simpang ke Kunak hingga ke Pekan Semporna daripada dua laluan kepada empat laluan.

Beliau turut mengumumkan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna.

"Ini adalah keprihatian Barisan Nasional (BN) kepada rakyat Semporna dan atas permintaan pemimpin di sini dan Ketua Menteri Sabah (Tan Sri Musa Aman)," katanya.

Perdana Menteri berkata pembinaan jambatan itu akan menjadikan bumi Semporna berubah menjadi pusat pelancongan dan  memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, beliau meminta rakyat Semporna terus memberikan sokongan kepada BN bagi membolehkan perubahan besar dilakukan kepada daerah ini.

Terdahulu ketika berucap, Ketua Penerangan Umno Semporna Datuk Ramlee Marahaban menyentuh tentang  keperluan pembinaan jambatan menghubungkan Pulau Bum-Bum dengan tanah besar Semporna yang sudah lama dinanti-nantikan  oleh penduduk di pulau itu.

Katanya pembinaan jambatan tersebut juga bagi kemudahan penduduk di pulau itu dan merancakkan lagi pembangunan.

Dalam pada itu, Pemangku  Ketua Umno Bahagian Semporna Datuk Nasir Tun Sakaran pula dalam ucapannya menyatakan keperluan menambah laluan jalan raya dari simpang bulatan ke Kunak hingga ke Pekan Sempona itu bagi mengatasi kesesakan lalu lintas.

Pembinaan jambatan sepanjang 1.4 kilometer itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 penduduk di Pulau Bum-Bum yang tinggal di 52 kampung.

Ia juga sejajar dengan pengisytiharan Pulau Bum-Bum sebagai daerah kecil yang turut diadakan pada majlis yang sama.
-Bernama
PRU14, lawat Semporna, Najib Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain