suria

Kuota Rasmi Haji 2018 Kekal 30,200 Jemaah

KUALA LUMPUR: Kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi tahun ini kekal 30,200 orang seperti tahun lepas, Dewan Negara diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata jumlah subsidi yang diperuntukkan untuk musim haji pada tahun ini pula dianggarkan RM400 juta, iaitu meningkat berbanding RM300 juta pada tahun lalu.

"Kenaikan (subsidi haji) kerana kos bagi setiap seorang jemaah haji dahulunya (tahun lalu) RM19,550.

"Kos pada tahun ini meningkat kepada RM22,450 tetapi jemaah haji Malaysia untuk kali pertama hanya perlu membayar RM9,980. Subsidi yang ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji sebagaimana arahan kerajaan adalah RM12,470," katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Azizah Harun yang ingin tahu jumlah kuota haji 2018 dan peruntukan subsidi pada tahun ini.

Katanya setakat ini, sejumlah 19 syarikat pelancongan tempatan swasta telah dilesenkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) dan pihaknya sedang meneliti beberapa agensi yang berkelayakan untuk dijadikan PJH. - Bernama

kuota haji

Artikel Lain