suria

Sanusi Junid Meninggal Dunia Ketika Tunggu Solat Subuh

PETALING JAYA: Negarawan, Tan Sri Sanusi Junid telah kembali ke rahmatullah pada usia 75 tahun di kediamannya di Pantai Dalam dekat sini pada pagi Jumaat.

Bekas Menteri Besar Kedah itu meninggal dunia kira-kira pukul 6 pagi selepas mengambil wuduk dan menunggu untuk mengerjakan solat Subuh.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Bukit Damansara, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan selepas solat Jumaat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Memetik latar belakang Allahyarham dari laman web mykedah.com, Sanusi dilahirkan pada 10 Julai 1943 di Yan, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Yan pada 1949 hingga 1953.

Beliau kemudiannya meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani pada 1954 hingga 1956.

Allahyarham Sanusi (kanan) berjabat tangan dengan Almarhum Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Pada 1957, Allahyarham berjaya meneruskan pengajian ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sebelum menyambung pengajian di Institut Bank London, Kolej London dan Institut Eksport London pada 1969.

Kemudian beliau meneruskan pengajiannya di Universiti London sehingga memperolehi Sijil Perdagangan Asing Dan Pertukaran Asing, dan Sekolah Bahasa Berlitz di Jerman.

Allahyarham pernah menggalas beberapa jawatan antaranya  Ahli Majlis Perundingan Belia Negara, Ahli Lembaga Felda, Ahli Majlis Perundingan Negara Mengenai Latihan Perusahaan dan Ahli Majlis Penasihat Kebangsaan Pelindung Pengguna.

Selain itu, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 1974.

Pada 1978 sehingga 1980, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Kemajuan Wilayah dan selepas itu sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 1980 hingga 1981.

Pada 1981, Sanusi dilantik sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan memegang jawatan tersebut sehingga 1986.

Seterusnya, Allahyarham diberi mandat memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ketujuh pada 16 Jun 1996 sehingga November 1999.

Sanusi Junid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain