suria

Semua Pendaki Gunung Kinabalu Selamat Turun

Penghuni Pangsapuri Platinum Putatan berkumpul di luar rumah berikutan gegaran gempa bumi yang melanda Sabah kira-kira jam 9.30 minit malam Khamis. - Bernama

KUNDASANG: Semua pendaki Gunung Kinabalu termasuk kakitangan yang bertugas selamat turun dari Laban Rata Resthouse awal pagi Jumaat susulan gempa bumi sederhana malam Khamis.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, operasi menyelamat tamat kira-kira pukul 4.30 pagi melibatkan 239 orang, termasuk 130 pendaki di Laban Rata, yang merupakan titik persinggahan pendaki sebelum melanjutkan pendakian ke puncak gunung.

“Ekoran gempa bumi tersebut, pihak APM bersama agensi penyelamat lain bekerjasama untuk membantu usaha menyelamat pendaki serta kakitangan bertugas turun dari Laban Rata menuju ke tempat selamat di Timpohon Gate (titik permulaan pendakian),” kata kenyataan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempa Gegar Ranau, Lebih 100 Pendaki Selamatkan Diri

Kenyataan itu turut memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.2 pada skala Richter melanda Ranau pukul 9.06 malam Khamis.

Tindakan membawa turun pendaki bermula sejak kira-kira 9.40 malam yang dipimpin oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar). - Bernama

gempa bumi

Artikel Berikut

Artikel Lain