Orang Awam Ikat, Belasah Pemandu Lori Sebabkan Pelajar Sekolah Maut - Semasa | mStar

Orang Awam Ikat, Belasah Pemandu Lori Sebabkan Pelajar Sekolah Maut

DUNGUN: Seorang pelajar tingkatan tiga maut diseret sejauh 20 meter dalam nahas jalan raya di jalan Gong Pasir, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.00 petang, mangsa Nur Syuhaiba Shafiee, 15 yang menunggang motosikal bersendirian dirempuh dan diseret oleh sebuah lori sarat membawa muatan kanji.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Besar meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, nahas yang berlaku membabitkan sebuah motosikal Honda EX5 dan lori dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa yang cuba memasuki simpang ke kanan telah di rempuh dan bergesel dengan sebuah lori menyebabkan remaja beralamat dari Taman Rakyat Jaya tercampak dan terseret.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Kuantan tiba di jalan Gong Pasir gagal mengelak motosikal mangsa.

"Difahamkan mangsa cuba membelok ke satu simpang kecil sebelah kanan menghala ke Gong Pasir sebelum dilanggar.

"Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat,"katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu memukul atau menghukum individu atau mana-mana pihak yang terlibat dalam kes kemalangan maut.

Ia susulan berlaku insiden pukul-memukul terhadap pemandu lori yang berasal dari Kuala Terengganu itu sejurus kemalangan berlaku.

"Kejadian pemandu lori itu diikat dan dipukul berlaku sebelum ketibaan pegawai polis.

"Kita nasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak melulu atau sesuka hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,"katanya. - Sinar Harian

kemalangan maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi