suria

‘Abang Ranum’ Teringin BR1M?

Alfian dan Rocco beraksi dalam video 'Taranum Masuk BR1M'.

PETALING JAYA: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula diagihkan kepada kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang berkelayakan sejak Isnin sememangnya dinanti-nantikan.

Bukan setakat itu, muncul juga video aksi bertaranum tanda kesyukuran mengenai bantuan daripada kerajaan secara tiga kali ansuran itu, yang kini tular di media sosial.

Bertajuk ‘Taranum BR1M Masuk’, video berkenaan dimuat naik pada malam Isnin di laman sosial Facebook, Alfian Alfonso yang dikongsi lebih 32,000 kali.

Video tersebut menunjukkan seorang lelaki membuat pengeluaran wang di ATM dan mula bertaranum selepas beredar sambil memegang sejumlah wang.

“Syukran hari ini BR1M masuk. Pagi pagi mangkit awai mau pi cucoq (Pagi pagi bangun awal mahu pergi ambil duit). Poket tebal dak lagi penuh habuk. Jangan hangpa guna buat pi karok (karaoke),” katanya sambil bertaranum.

Pemilik sebenar suara taranum itu, Alfian M Nor, 38, berkata, idea membuat video itu sekadar suka-suka yang boleh dikaitkan dengan situasi semasa seperti BR1M.

“Mesti ramai yang ternanti-nanti untuk dapat BR1M. Dalam video ini ada pesanan ringkas untuk penerima BR1M supaya beringat apabila berbelanja, gunakannya secara bermanfaat,” katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Menerusi video berdurasi 58 saat itu, turut menampilkan rakan duetnya,  Irwan Effendy Bahtiar, 36, semasa Alfian sedang bertaranum.

Irwan atau lebih dikenali sebagai Rocco sebelum ini bertaranum mengikut pergerakan mulut (miming) menggunakan suara Alfian, menerusi dua video taranum yang tular iaitu masuk gaji dan sempena pasukan Selangor menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan Liga Super,  kedua-duanya pada Ogos tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rahsia ‘Taranum Masuk Gaji’ Didedah

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas Masuk Gaji, Taranum 'Red Giants' Pula

ARTIKEL BERKAITAN: 'Abang Ranum' Bikin Kecoh Lagi

Alfian (kanan) dan Rocco (kiri) beraksi dalam video 'taranum masuk gaji' versi kedua.

Alfian yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, kemunculan Rocco di dalam video tersebut untuk menggelakkan tanggapan meniru konsep video taranum masuk gaji.

“Ada netizen yang komen cakap mereka baru tahu saya dan Rocco berkawan baik dan taranum gaji memang guna suara saya.

“Tapi masih ramai yang ingat taranum gaji tu suara Rocco, tapi saya tak terasa hati pun sebab memang pada awalnya kami rancang macam tu (miming),” katanya sambil menambah bahawa lirik taranum itu dibuat dalam tempoh lima minit sebelum terus merakamkan aksi berkenaan di kawasan pejabat mereka di Putrajaya.

Menurut Alfian, segelintir netizen terutama rakan-rakan membuat gurauan bahawa mereka disangka turut menerima BR1M susulan penyiaran video tersebut. 

Ditanya sama ada teringin untuk menerima BR1M, Alfian menjelaskan bahawa video dibuat sekadar hiburan dan sekiranya orang ramai terhibur, ia sudah mencukupi.

“Kalau nak bagi, kami terima dengan poket yang terbuka, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Tapi sayangnya buat masa ni memang kami tak layak dapat BR1M,” katanya secara berseloroh.

taranum, BR1M

Artikel Lain