suria

Kemaluan Cedera, Kesan Gigit Pada Tangan Bayi 46 Hari

Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM: Kematian bayi berusia 46 hari yang disyaki didera, di sini disahkan akibat pendarahan dalam kepala.

Selain itu, keputusan bedah siasat terhadap Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus juga mendapati terdapat banyak kesan lebam, luka dan calar pada bahagian tubuhnya iaitu  kepala, muka, mulut serta badan.

Terdapat juga kesan pada kedua-dua lengan atas dan kedua-dua kaki bayi itu.

Lebih menyedihkan, kecederaan turut dikesan pada bahagian kemaluan mangsa selain kesan gigitan pada kedua-dua tangannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan dalaman dilakukan oleh pakar perubatan menunjukkan terdapat kesan pendarahan yang banyak di bawah kulit kepala dan pendarahan pada bahagian otak serta tempurung kepala.

"Organ otak nampak membengkak akibat pendarahan malah kesan kecederaan juga didapati pada 'frenulum' bibir atas selain kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk kiri dan kanan.

"Terdapat juga kesan patah pada lengan kanan dan kesan patah baharu pada tulang peha kiri mangsa," katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini.

Nik Ros Azhan berkata, pemeriksaan kecederaan luaran pada mangsa mungkin disebabkan objek tumpul dan keras seperti lantai, dinding dan pintu termasuk juga perbuatan cubit dan hentakan.

Manakala kecederaan dalaman pula dipercayai akibat hentakan kuat sehingga pendarahan berlaku pada organ dalaman seperti otak.

Pagi Jumaat, kedua ibu bapa bayi berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak mereka yang berusia 46 hari di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini pagi Khamis.

Perintah reman keatas pasangan yang masing-masing berusia 22 tahun itu dikeluarkan oleh Pendaftar, Nor Hapipah Abdullah.

Penahanan pasangan itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 selepas mendapati terdapat unsur keraguan atas kematian anak mereka.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, ujian saringan air kencing dilakukan terhadap pasangan terbabit mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah. - Sinar Online

kemaluan, dera

Artikel Lain