suria

Tak Wajar Potong Rumput Semasa Aktiviti Luar Kelas

Datuk P.Kamalanathan

SEPANG: Kerja-kerja memotong rumput di padang sekolah tidak wajar dilaksanakan semasa pelajar sedang melakukan aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Mengulas insiden seorang pelajar perempuan di Gemas, Negeri Sembilan yang maut dikatakan terkena  bilah pisau traktor mesin rumput, beliau berkata pihak kementerian sedang menyiasat sekiranya wujud kecuaian pihak yang melakukan kerja pemotongan rumput itu.

"Pada saya, kerja-kerja pemotongan rumput tidak boleh dijalankan semasa padang sedang digunakan pelajar.

"Kerja-kerja tersebut tidak boleh dijalankan kerana kita perlu mengawal keselamatan anak-anak kita yang berada di padang sekolah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelas Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) di SMK Dengkil di sini.

Dalam  kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, selain pelajar perempuan berumur 14 tahun itu yang maut, dua pelajar lelaki masing-masing berumur 13 dan 14 tahun cedera akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput ketika berada di padang sekolah berkenaan.

Mengenai Frog VLE, Kamalanathan berkata inisiatif yang dilaksanakan Yayasan YTL bersama Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dan ERL Maintenance Support Sdn Bhd (E-Mas) sejak tiga tahun lepas itu ternyata dapat  menyediakan guru dan pelajar mendepani cabaran sistem pendidikan terkini serta membudayakan pendidikan abad ke-21.

Beliau berkata generasi baharu pelajar dapat meningkatkan persekitaran pembelajaran ke tahap yang lebih tinggi dengan penggunaan teknologi yang maju daripada ChromeLabs.

-Bernama
mesin rumput, Kamalanathan, Gemas

Artikel Lain