Rafizi Dipenjara 30 Bulan - Semasa | mStar

Rafizi Dipenjara 30 Bulan

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), enam tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman sama terhadap bekas kerani bank, Johari Mohamad selepas didapati bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi yang juga anggota Parlimen Pandan.

Zamri menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan Mohd Rafizi dan Johari gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selepas membenarkan permohonan peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari dan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Mohd Rafizi.

Menurut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang itu tidak layak menjadi calon sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya dan di bawah artikel sama, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Mohd Rafizi, 41, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat  and  Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star,  Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 47, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta sama.- Bernama

Rafizi Ramli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

UM Melonjak Ke-46 Di Asia

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel