suria

Dua Pegawai Kanan Syarikat Pemaju Antara Tujuh Ditahan Rasuah Projek Lanskap

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan syarikat pemaju hartanah kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan landskap.

Suspek yang bertugas aebagai timbalan pengurus besar yang berusia 44 tahun dan pengarah berusia 55 tahun itu ditahan antara pukul 3 petang dan 4 petang Isnin di pejabat SPRM Johor.

Turut ditahan ialah seorang wanita berusia 34 tahun, yang merupakan pembantu peribadi kepada timbalan pengurus besar berkenaan, bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan SPRM mendapati timbalan pengurus besar dan pengarah projek tersebut secara langsung akan memastikan kontrak landskap di bawah seliaan mereka dianugerahkan kepada lapan syarikat yang berjumlah kira-kira RM44 juta.

Difahamkan, timbalan pengurus besar tersebut akan mengarahkan eksekutif syarikat untuk memberi markah sebanyak 80 peratus kepada syarikat kontraktor yang bertanggungjawab ke atas kerja-kerja penyelenggaraan landskap supaya mereka menerima bayaran penuh daripada tuntutan bulanan yang dikemukakan.

Manakala pengarah projek yang mempunyai bidang kuasa untuk melantik kontraktor, pembekal dan jururunding serta meluluskan pembayaran juga akan meluluskan tuntutan yang dikemukakan kontraktor-kontrator supaya mereka menerima bayaran penuh seperti yang dinyatakan dalam kontrak.

Berdasarkan siasatan awal, wujud bayaran yang mencurigakan berjumlah lebih RM2.4 juta dimasukkan ke akaun bank milik timbalan pengurus syarikat dan isterinya, daripada lapan syarikat kontraktor melalui empat proksi.

Pasukan penyiasat SPRM turut menahan empat proksi terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes yang berlaku antara 2013 dan 2017.

Keempat-empat proksi masing-masing ditahan antara pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari Isnin di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, Shah Alam, Klang dan Melaka.

Pasukan penyiasat turut menyita 15 akaun milik timbalan pengurus besar dan syarikat kontraktor bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut sambil menambah bahawa pasukan penyiasat mengambil dokumen-dokumen berkaitan dengan siasatan di beberapa lokasi termasuk di syarikat kontraktor.

“Kita akan meneliti semua dokumen yang dirampas untuk mengenal pasti sama ada wujudnya elemen rasuah dan salah guna kuasa,” kata Azam.

Kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Selasa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

UEM Sunrise

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain