suria

POKB Sumbang TV, Dispenser Air Kepada Wad Rehabilitasi

KOTA BHARU: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) meneruskan khidmat sosialnya dengan menyerahkan sumbangan dua buah televisyen dan sebuah 'dispenser air' kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, Sabtu.

Presidennya Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata peralatan berkenaan ditempatkan di Wad Rehabilitasi HRPZII bagi memberi keselesaan kepada kakitangan dan pesakit yang menjalani rawatan.

Sheikh Ahmad Dusuki.

"Ini sumbangan pertama POKB kepada Wad Rehabilitasi khas untuk kegunaan pesakit orang kelainan upaya (OKU) kerana sebelum ini kita banyak memberi tumpuan kepada pesakit kanser," katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Plak Kaseh OKB Wan Mohd Asyid Mat Yamim, Anugerah Presiden Wira OKB 2014 di HRPZII.

Majlis dirasmikan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang juga Anggota Majlis Pemikir dan Pemandu OKB Yusri Mohamad.

Sementara itu Sheikh Ahmad Dusuki berkata anugerah itu diberikan kepada Wan Mohd Asyid bagi mengabadikan jasa salah seorang anggota POKB yang banyak memberi sumbangan tenaga dalam operasi bantuan banjir pada 2014.

Beliau berkata Wan Mohd Asyid mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lepas sehingga menyebabkan bahagian pinggang dan lututnya memerlukan sokongan untuk berjalan dan kini menjalani rawatan di wad berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Sheikh Ahmad Dusuki berkata sehingga kini 18 anggota persatuannya yang mengalami kecacatan atau kelainan upaya telah dibantu dalam bentuk kewangan dan peralatan selain kad keanggotaan yang melayakkan mereka mendapat khidmat sokongan lain termasuk kaunseling.

Beliau berkata POKB kini dalam proses saringan pemilihan anggota baharu bagi menambah jumlah 2,600 anggota sedia ada.

"Penambahan anggota baharu itu akan menjadi kekuatan kepada POKB dalam memperkasa usaha membantu mereka yang memerlukan di seluruh negara," katanya. - Bernama

POKB

Artikel Sebelum

Artikel Lain