suria

Perancang Perkahwinan 'Buat Hal' Lagi, Reka Pelamin 'Yuna Tak Yuna Sangat'

KEINDAHAN pelamin majlis perkahwinan penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna terus menjadi bualan ramai sepanjang minggu ini.

Malah, ia turut memberi inspirasi kepada seorang perancang perkahwinan, Ahmad Rasidi Md Idris, 27, sehingga munculnya pelamin Yuna versi 'bajet'.

Menerusi posting yang dimuat naik di Facebook, Ahmad Rasidi atau lebih dikenali sebagai Eddie berjaya merealisasikan impian sepasang pengantin untuk bersanding di atas pelamin berkonsep hijau alam semulajadi.

Walaupun tidak sepenuhnya sama seperti yang digunakan oleh Yuna, 32, dan suaminya Adam Sinclair, 34, tetapi ideanya tetap sama.

"Pelamin 'Yuna tak Yuna sangat', tapi OKla dengan bayaran. Kalau bayar lebih sikit, saya buat 90 peratus sama.

"Kita cuba buat ikut barang dan idea kita sendiri. Berlatarbelakangkan pokok pisang dan pokok serai. Pengantin pun suka," tulisnya di Facebook.

Dalam tempoh kurang 24 jam, posting itu sudah menerima hampir tiga ribu tanda suka dan dikongsi lebih 1,000 pengguna.

Eddie ketika dihubungi mStar Online pada Khamis berkata majlis tersebut berlangsung pada Sabtu di Kampung Sena, Sik, Kedah.

"Saya cuba realisasikan impian pengantin yang mahu bersanding dengan latar belakang alam semulajadi.

"Selepas meninjau kawasan rumahnya, saya cadang buat pelamin latar belakang kebun pisang milik bapa pengantin dan dia setuju," katanya.

Menurut Eddie, tidak seperti pelamin Yuna yang menelan kos RM70,000, anggaran kos untuk pelamin seperti itu adalah antara RM1,000 ke RM1,500, bergantung kepada penggunaan bunga dan hiasan lain, kerusi serta kos pemasangan dan penghantaran.

Dia juga dapat merasakan bahawa pelamin berkonsep semula jadi akan menjadi 'trend' dalam tempoh tertentu.

"Saya tak nafikan ia cantik dan lain dari yang lain. Mood perkahwinan juga berbeza, begitu juga kesannya dalam gambar.

"Sebenarnya pelamin ini, adalah pelamin kedua pengantin yang digunakan khas untuk sesi bergambar. Pelamin utama tetap di rumah," katanya.

Sementara itu, netizen turut memuji kreativiti Eddie yang menggunakan bahan semula jadi sebagai sebahagian dekorasi pelamin itu.

"Inisiatif yang bagus. Idea kreatif luar dari kotak, kalau foto dirakam dengan jurugambar professional, hasilnya pasti lawa," tulis Zeyti Abd Wahab.

"Kreatif dan cantik. Tenang tengok pelamin ni, good job," tulis Sarimah Mohd pula.

Namun, terdapat juga segelintir netizen yang mengecam dan memandang rendah terhadap rekaan pelamin berkenaan.

"Adoi, pening tengok selera orang zaman sekarang. Jangan nanti ada yang bersanding di kubur pula.

"Ni beruk ke manusia yang bersanding? Banyak pokok pisang pula," soal seorang lagi pengguna Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Wedding Planner' Kampung Ada Kelas!

Eddie yang mengusahakan Butik Pengantin Setia di Sik dan Gurun, Kedah bagaimanapun menganggap kritikan dan kecaman itu adalah perkara biasa.

Dia sebelum ini pernah tular disebabkan kemampuannya melakukan transformasi dengan menghasilkan pelamin indah dan gah di rumah-rumah kampung.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain