suria

Nasihat Menteri Pendidikan Selaras Arahan JPA

PUTRAJAYA: Nasihat Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung penglibatan pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pengetua, guru besar serta guru dalam politik kepartian pada majlis Perutusan Tahun Baharu 2018 KPM adalah selaras dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, nasihat dan teguran itu adalah selaras dengan  surat siaran bertarikh 6 April 2009 iaitu Larangan Penglibatan Dalam Politik Ke Atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi Dan Pegawai Kumpulan Pengurusan Dan Profesional.

"Sehubungan itu, semua pihak diminta bekerjasama supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu berunsur fitnah yang boleh mendatangkan keresahan khususnya kepada warga pendidikan serta boleh menjejaskan keyakinan masyarakat kepada golongan pendidik," menurut KPM.

Jelas KPM, Menteri Pendidikan dalam ucapan pada majlis Perutusan Tahun Baharu 2018 KPM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 18 Januari  telah memberi nasihat dan teguran secara umum kepada semua agar mengelakkan diri daripada berpolitik sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti sebagai penjawat awam serta melibatkan tahap kebencian dan fitnah terhadap kepimpinan negara serta kerajaan.

Menurutnya, Menteri Pendidikan juga tidak menyentuh secara khusus atau umum tentang siapa yang hendak dipilih dalam pilihan  raya, malah menegaskan mereka perlu sentiasa bersikap profesional agar prinsip  ‘berkecuali' dan ‘tidak berat sebelah' diamalkan  dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

Nasihat dan teguran tersebut telah disalahertikan serta diperolok-olok oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan   ditularkan di media sosial sehingga menimbulkan keresahan serta salah faham dalam kalangan warga pendidikan, kata KPM.-- Bernama

JPA, Mahdzir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain