suria

Bakar Rumah Sebab Ibu Tak Beri Wang

Gambar hiasan.

KUANTAN: Seorang penganggur tergamak membakar rumah keluarganya di Jengka 11, Maran pada Jumaat, selepas marah apabila ibunya enggan memberinya wang, kata Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman.

Beliau berkata, suspek berusia 37 tahun yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah  dipercayai melakukan perbuatan itu pada pukul 2 petang, dan difahamkan telah dua hari mengugut untuk berbuat demikian.  

"Kebakaran itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kerana ibu suspek yang berusia 66 tahun keluar untuk menetap bersama seorang lagi anaknya kerana bimbang dengan kelakuannya yang agresif. 

"Suspek berjaya ditahan berhampiran kawasan rumah itu dan daripada siasatan awal, suspek dipercayai memulakan kebakaran dengan membakar tilam di dalam rumah itu," katanya kepada pemberita pada Sabtu.  

Norzamri berkata, rumah separa kayu dan batu itu musnah 80 peratus dan kerugian dianggarkan kira-kira RM90,000.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman  penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Sebelum

Lebih 5,000 Syarikat Tipu GST

Artikel Berikut

Ah Long Semakin 'Mengganas'

Artikel Lain