suria

Ah Long Semakin 'Mengganas'

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Lintah darat semakin agresif, dengan pakej yang menarik perhatian sempena acara utama seperti Piala Dunia FIFA dan Tahun Baharu Cina.

Dikenali juga sebagai Ah Long, kumpulan pemberi wang haram ini memperdaya mangsa dengan menawarkan pakej yang berbeza untuk musim yang berlainan.

Sebahagian mereka menawarkan diskaun untuk bayaran balik awal atau skim pembayaran balik yang mudah.

Sumber yang dekat dengan 'industri' itu berkata, mereka terpaksa tampil dengan taktik tersebut kerana perniagaan mereka kini terjejas akibat bilangan pinjaman yang rendah.

"Perniagaan menurun sebanyak 45 peratus tahun lepas dan semakin buruk disebabkan kesukaran untuk mendapatkan pinjaman.

"Itulah sebab sekarang anda boleh melihat pelbagai pakej seperti pinjaman RM1,000 dengan faedah 10 peratus yang perlu dibayar selepas bulan ketiga," kata satu sumber.

"Jika peminjam membayar dalam tempoh tiga bulan, faedahnya hanya 6 peratus," katanya sambil menambah bahawa dalam 10 peminjam, tujuh orang akan membuat laporan polis atau meminta bantuan daripada NGO apabila Ah Long cuba mengutip bayaran.

Sumber lain mengatakan banyak peminjam melarikan diri tanpa membuat sebarang bayaran tahun lepas, jadi Ah Long terpaksa merangka strategi seperti pelan bayaran balik yang mudah.

Kebanyakan peminjam berurusan menggunakan telefon bimbit. Pinjaman Tahun Baru Cina mungkin tidak popular, tetapi taruhan Piala Dunia pada Jun dijangka meningkatkan pendapatan Ah Long.

"Terdapat pakej yang disediakan untuk ditawarkan kepada pengunjung. Mereka boleh meminjam jumlah pertaruhan mereka sekarang dan hanya membayar bunga sebanyak 10% jika pasukan pilihan mereka menang di Piala Dunia.

"Jika pasukan mereka kalah, mereka hanya perlu membayar jumlah prinsipal dengan yuran pemprosesan sebanyak RM10 untuk setiap RM1,000," kata sumber itu.

Berdasarkan semakan The Star mendapati Ah Long bukan sahaja berani, malah mereka juga mencabar pihak berkuasa.

Pelekat, poster dan sepanduk mereka semakin besar dan lebih menarik, muncul di mana-mana sahaja dari tiang lampu, lampu isyarat, pokok-pokok, dinding, berhampiran bank dan kedai-kedai kosong hingga ke tiang-tiang besar MRT2 yang baru beroperasi di sepanjang lebuh raya KL-Cheras.

Walaupun pihak berkuasa tempatan dan polis mengadakan operasi bersepadu secara tetap untuk menurunkan sepanduk haram, tetapi muncul pula yang baru tidak lama kemudian.

pinjaman, Ah Long, lintah darat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain