suria

Tiada Guru Mahu Cederakan Murid - KGMMB

Cikgu Idzahril.

PETALING JAYA: Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berpendapat, tiada guru yang ingin mencederakan muridnya.

Berkongsi jiwa yang sama sebagai pendidik, beliau memberitahu bahawa semua ilmu dan teguran kepada murid adalah dengan niat yang ikhlas.

"Ia bagi mendidik muridnya menjadi anak didik yang berdisiplin dan berjaya pada masa depan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kenyataan kesatuan perguruan ini dibuat susulan kes kedua melibatkan pendidik iaitu Cikgu Idzahril yang akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang pada Selasa selepas pihak ibu bapa tidak berpuas hati terhadap guru berkenaan berhubung tindakan tegas yang dikenakan terhadap anak mereka membabitkan masalah disiplin di sekolah pada 2 Ogos lalu.

Sebelum ini, kes Cikgu Azizan mendapat perhatian kerana didakwa mencederakan muridnya yang dikatakan melakukan kesalahan disiplin berat berulang termasuk menghidu gam, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah, April tahun lalu. Bagaimanapun, kes berkenaan ditarik balik oleh ibu bapa pelajar berkenaan.

Mohamed Sabri Mohd Arsad.

Mengenai Cikgu Idzahril, kata Mohamed Sabri berkata, kesatuan itu bersimpati dengan nasib yang menimpa guru berkenaan dan berharap ada peluang serta ruang untuk diselesaikan secara rundingan.

Beliau menambah, keadaan seperti yang menimpa Cikgu Idzahril boleh berlaku kepada sesiapa saja yang bertugas sebagai guru di sekolah. 

“Guru sewajarnya didekati ibu bapa dan masyarakat untuk bersama membantu melahirkan murid yang cemerlang dalam semua aspek merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.

Mengikut rekod, Mohamed Sabri berkata, Cikgu Idzahril tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 29 tahun berkhidmat sebagai guru.

Malah katanya, kecemerlangan guru Bahasa Inggeris itu dibuktikan melalui Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang diperolehi pada 2008 dan 2016.

Kisah Cikgu Idzahril mendapat perhatian netizen dan kebanyakan memberi sokongan terhadapnya.

Dalam pada itu, Mohamed Sabri berkata, KGMMB akan membiayai kos guaman Cikgu Idzahril bagi berdepan dengan tuduhan tersebut di mahkamah.

“KGMMB menyeru semua warga pendidik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam mendoakan Cikgu Idzahril dibebaskan daripada tuduhan tersebut dan bersama-sama hadir ke mahkamah sebagai tanda sokongan dan solidariti kepada Cikgu Idzahril,” katanya.

Menurut Mohamed Sabri, Cikgu Idzahril didakwa pada 11 Disember lalu terhadap pertuduhan kerana memukul seorang murid pada 2 Ogos tahun lalu.

Tambahnya, Cikgu Idzahril diikat jamin sebanyak RM4,000 dihadapkan ke mahkamah sekali lagi tetapi kes ditangguh kerana didapati tiada laporan perubatan, dengan tarikh baharu pada 9 Januari.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas Cikgu Azizan, Kini Solidariti Cikgu Idzahril

Mengenai Cikgu Azizan, Mahkamah Majistret Seremban pada Disember lalu membebaskan guru berkenaan atau nama sebenarnya, Azizan Manap, daripada pertuduhan selepas dimaklumkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain