suria

Pengawal Keselamatan Maut Ditanduk Kerbau

Gambar hiasan.

KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan maut selepas ditanduk seekor kerbau di Kampung Paya Tambang, Songsang Temerloh dekat sini, kira-kira pukul 6.45 petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zuhdin Mahmud berkata kejadian berlaku semasa mangsa, Bazarudin Yeop Yahya, 59, membantu rakannya menaikkan kerbau itu ke atas lori untuk dijual.

“Bagaimanapun seutas tali yang digunakan untuk menambat kerbau itu longgar dan difahamkan haiwan terbabit tiba-tiba mengamuk lalu menanduk perut dan memijak mangsa beberapa kali.

“Bazarudin bagaimanapun meminta rakannya dan pembeli kerbau untuk terus menaikkan kerbau itu ke dalam lori sementara dia terbaring di belukar akibat ditanduk,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Zuhdin berkata rakan mangsa, Mohd Hirmy Abdul Mobin, 31, membawanya balik ke rumah sebelum keluarga Bazarudin membawanya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan.

Bazarudin bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan bedah siasat mendapati punca kematiannya akibat pendarahan teruk di dada serta abdomen berpunca daripada tandukan haiwan.

“Siasatan mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku. Jenazah telah dituntut waris untuk pengebumian,” kata Zuhdin. - BERNAMA

kerbau

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain