Spekulasi Berlebihan Punca Kerugian Forex - Semasa | mStar

Spekulasi Berlebihan Punca Kerugian Forex

KUALA LUMPUR: Aktiviti spekulasi berlebihan telah menyebabkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian urus niaga pertukaran asing (Forex) berjumlah RM31.5 bilion pada era 1990-an, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau yang memetik laporan audit dalaman disediakan oleh juruaudit dalaman BNM bertarikh 21 Januari 1994, berkata pembelian matang dan urus niaga pertukaran mata wang bulanan yang berjumlah purata RM140 bilion pada tahun 1992 telah meningkat kepada RM750 bilion pada tahun 1993.

“Sebahagian besar urus niaga itu bersifat spekulatif dan tidak mencerminkan mandat BNM untuk mengekalkan keadaan teratur dalam pasaran pertukaran asing mengikut Seksyen 4 Ordinan Bank Negara Malaysia 1958,” katanya dalam surat terbuka beliau kepada bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad, Selasa.

Johari berkata laporan audit itu juga menekankan bahawa magnitud urus niaga spekulasi pertukaran asing dianggap sangat berlebihan memandangkan dana pemegang saham BNM hanya RM4.4 bilion dan rizab antarabangsa negara itu hanya RM43.98 bilion pada masa itu.

Laporan Audit itu juga menyatakan bahawa aktiviti perdagangan pertukaran mata wang asing spekulatif yang dijalankan oleh bank pusat pada masa itu telah dilakukan oleh Bahagian Pertukaran Asing Jabatan Perbankan BNM, yang diketuai oleh penasihat merangkap pengurusnya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang kemudiannya menjadi Menteri Kewangan Kedua.

Menurut Johari, dengan skala kerugian aktiviti spekulasi pertukaran asing yang besar, kerajaan dipaksa untuk memindahkan sahamnya di Telekom dan Tenaga Nasional Berhad kepada BNM pada nilai nominal RM1 sesaham dan saham-saham ini telah dinilai semula oleh BNM pada RM22.10 setiap saham dan RM19.30 sesaham untuk Telekom dan TNB.

Di samping itu, BNM terpaksa melupuskan saham Malaysia Airlines kepada pihak ketiga dengan harga RM8 sesaham dan saham MISC pada RM10 sesaham kepada Kumpulan Wang Pencen untuk mendapatkan keuntungan.

“Jika kerugian pertukaran asing spekulatif ini tidak nyata, kerajaan tidak akan mengambil tindakan drastik ini untuk menutup kerugian BNM pada masa itu,” katanya.

Menurutnya, adalah sangat penting bagi orang ramai untuk memahami perbezaan antara aktiviti pertukaran mata wang spekulatif dan pengurusan pasaran pertukaran asing yang teratur.

“Aktiviti pertukaran wang asing spekulatif, dengan bahasa yang lebih mudah, adalah sejenis aktiviti "perjudian" untuk mendapatkan pulangan yang cepat.

“Namun, pengurusan pasaran pertukaran asing yang teratur sangat jauh berbeza yang mana kemudahan mudah tunai oleh BNM kepada pelabur di negara ini untuk mengurangkan ketidakseimbangan yang berkaitan dengan penawaran dan permintaan ringgit di pasaran,” katanya.

Johari berkata, BNM dan negara telah berjaya mengambil pelbagai langkah penambahbaikan, terutamanya dalam melaksanakan pembaharuan serta langkah semak dan imbang yang perlu berkaitan aktiviti urus niaga hadapan pertukaran matawang asing.

Hasil daripada pembaharuan ini, walaupun berlaku ketidakstabilan aliran modal dan ringgit dalam tempoh yang lalu, ekonomi Malaysia terus kekal berdaya tahan dan keupayaan BNM untuk menjaga kestabilan kewangan dan ekonomi masih tidak dapat dikompromi, meskipun aliran modal dan ringgit yang tidak menentu ketika ini.

Johari berkata rizab antarabangsa Malaysia terus kukuh dan pada akhir November 2017, berjumlah AS$101.9 bilion dan kerajaan dapat mengekalkan 7.5 bulan import tertangguh.

“Saya rasa sudah cukup untuk saya menjelaskan mengenai subjek ini dan jika ada pihak yang masih tidak mahu menerima dan memahami kebenaran, maka tiada ada apa lagi yang dapat saya katakan,” katanya sambil menambah beliau tidak mahu memanjangkan perbincangan mengenai isu ini terutamanya kerana sudah ada pasukan bebas di Polis Diraja Malaysia menyiasat perkara ini. - BERNAMA

Forex , BNM

Artikel Sebelum

Remaja Perempuan Dicekik, Dipukul, Digigit

Artikel Berikut

Peluang Kedua Erinna Penghidap Sawan

Klik

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain