suria

20 Tahun Dihantui Masalah Lalat!

Keadaan kedai makan milik seorang penduduk yang dipenuhi lalat di Kampung Alor Batu Jabor. -fotoBERNAMA

KUANTAN: Kira-kira 1,200 penduduk Kampung Alor Batu, Jabor di sini dihantui masalah lalat sehingga menjejaskan aktiviti seharian selama hampir 20 tahun yang didakwa berpunca daripada ladang ternakan ayam berdekatan kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu Mohd Rosli Yusop berkata rumah dan kedai makan di kampung itu sentiasa dihurungi lalat pada jumlah yang banyak yang sungguh menjijikkan dan menjejaskan kesihatan.

"Keadaan bertambah buruk setiap kali ayam dibawa keluar dari reban untuk dijual kerana ketika itu reban akan dicuci dan disembur racun. Ia menyebabkan serangga itu lari ke arah kampung.

"Pelbagai cara telah dilakukan oleh penduduk bagi mengatasinya termasuk memanggil Jabatan Kesihatan untuk memberi khidmat nasihat, pemeriksaan dan bantuan ubatan membasmi lalat namun ia tetap menemui jalan buntu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Mohd Rosli berkata beliau percaya masalah berkenaan akan berterusan jika pengusaha tidak beralih kepada kaedah penternakan di dalam reban tertutup.

"Pengusaha  masih menggunakan kaedah lama iaitu menternak dalam reban terbuka. Ini berbeza dengan kaedah terkini di mana ayam diternak dalam reban tertutup dan ia pastinya menghalang sebarang pembiakan serangga termasuk lalat, Kami terpaksa hidup dalam keadaan amat tidak selesa," katanya.

Pemilik warung Saroddin Sidek, 46, membersihkan meja makan yang dipenuhi lalat di Kampung Alor Batu Jabor.-fotoBERNAMA

Pemilik warung, Saroddin Sidek, 46, berkata pendapatan beliau dan peniaga makanan lain di kawasan itu amat terjejas kerana pelanggan jijik dengan situasi premis yang sentiasa dihurungi lalat.

"Siapalah yang ingin menjamu selera jika melihat terdapat ribuan lalat menghurung kedai kami, makanan dan minuman jika dihidangkan pula terpaksa ditutup bagi mengelakkan dimasuki serangga itu. Sudah pelbagai ubat saya gunakan bagi menghapuskannya tetapi ia tetap datang tanpa apa-apa kesan," katanya.

Seorang daripada penduduk, Rahmah Ali, 38, berkata aktiviti seharian mereka terganggu rentetan masalah berkenaan yang tiada kesudahan.

"Bayangkan apabila ada kenduri kendara di sini, pasti tetamu yang hadir terutama orang luar berasa tidak selesa. Sedikit sebanyak mereka risau mendapat penyakit apabila menikmati juadah disediakan berikutan terdapat begitu banyak lalat," katanya. -Bernama

lalat, Kampung Alor Batu

Artikel Sebelum

Parah Dikelar Penyamun

Artikel Berikut

Artikel Lain