suria

Felda Mahu Semula Tanah Di Jalan Semarak

Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR: Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta di Jalan Semarak di sini susulan laporan yang menimbulkan tanda tanya berhubung urusan pindah milik tanah berkenaan.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata selain laporan polis yang dibuat pada 12 Disember lepas,  tindakan lain yang diambil adalah dengan mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.

Beliau berkata Unit Kawal Selia Jabatan Perdana Menteri akan melantik juruaudit bebas bagi memulakan siasatan dalaman berhubung keseluruhan isu itu.

“Kita jangkakan siasatan akan dimulakan seawal Januari depan,” katanya dalam sidang berita tergempar di ibu pejabat Felda pada Khamis, yang turut di hadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan Jabatan Perdana Menteri Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Sidang berita itu diadakan berikutan pendedahan media yang melaporkan Felda berisiko kehilangan hak terhadap tanah itu yang terletak di kawasan strategik Jalan Semarak susulan urusan pindah milik tanah yang dicurigai.

Ditanya mengenai intipati laporan polis itu, Shahrir berkata syarikat yang memegang surat kuasa wakil penuh ke atas tanah-tanah itu telah dinamakan, namun nama bekas pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad tidak disebut.

“Kita buat laporan polis kerana bimbang ada kes penipuan dalam hal tanah ini,” katanya sambil menyifatkan perjanjian jual beli tanah itu pelik kerana ia melibatkan tanah institusi kerajaan yang seolah-olah ditukar milik dengan begitu mudah.

Shahrir berkata secara kebiasaannya, projek pembangunan membabitkan tanah milik kerajaan dan agensi kerajaan akan melibatkan hak milik strata sahaja bukannya penukaran hak milik tanah secara keseluruhan.Beliau mendedahkan selaku pemegang PA (surat kuasa wakil) tanah, syarikat berkenaan didapati menjual tanah kepada pihak mereka sendiri.

“Sebagai pemegang PA, syarikat itu jual tanah kepada diri sendiri dengan jumlah nilai yang disebut itu, namun tiada wakil Felda yang tanda tangan (dokumen penjualan). Mereka jual kepada pihak dia sendiri,” katanya.

Shahrir berkata keseluruhan tindakan sejak Januari hingga April dilakukan Felda setelah mendapat nasihat Jabatan Peguam Negara, selain ia dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari.

Beliau mendedahkan tanah-tanah itu merangkumi empat perjanjian jual beli dengan nilai keseluruhan RM269.78 juta bagi kawasan berkeluasan 6.57 hektar di Jalan Semarak, yang dibuat sejak 2015 hingga 2016.

Katanya sehingga kini tiada sebarang pembayaran diterima daripada syarikat tersebut malah Lembaga Pengarah Felda juga tidak dimaklumkan mengenai tindakan pindah milik tersebut.

“Dengar juta-juta, tapi satu sen pun tidak dibayar. Langsung tidak dibayar,” katanya sambil memberitahu syarikat itu telah dipanggil sebaik sahaja kes itu diketahui pihak pengurusan dan pentadbiran.

Ditanya sama ada Felda sanggup menerima wang hasil jualan tanah itu jika gagal dalam proses rundingan dengan syarikat berkenaan, Shahrir berkata pihaknya langsung tidak berminat dengan wang sebaliknya mahu memberi keutamaan kepada pemilikan semula tanah itu.- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain