suria

Bangun Pukul 4 Pagi Demi Buah Nipah

Natasha Azmira memerhati ibunya menyukat buah nipah sebelum dimasukkan ke dalam plastik.

TUMPAT: Tidak ramai yang mengenali buah nipah spesies tumbuhan hutan paya ini tetapi hasil usaha gigih seorang pelatih Giat Mara membawa rezeki kepadanya sekeluarga.

Di sebalik tekstur isi seakan buah kabung atau buah kelapa laut, untuk memproses bukannya kerja mudah.

Namun demi membantu keluarga, Natasha Azmira Ibrahim, 18, dari Pulau Tokang, sanggup bangun jam 4 pagi untuk memproses buah nipah sebelum dijual di Pasar Tumpat.

Azmira berkata, untuk menghasilkan sebesen buah nipah ini, dia perlu mengopek isi buah nipah daripada 13 tandan.

“Sebelum itu, saya perlu mencari buah nipah ini di paya pesisir Sungai Kelantan dengan menaiki bot di sekitar Kampung Pulau Tokang.

“Buahnya kena pilih betul-betul, kalau buah tua ia keras dan kalau muda sangat tiada isi.

“Nak kopek isi tu yang cerewet sikit, kena belah buah satu-satu, setandan buah nipah ada 60 biji hingga 70 biji,” katanya.

Menurutnya, selepas isi dikopek, dia akan rendamkan isi nipah di dalam air gula selama sejam.

“Dalam tiga jam jugalah siap kopek isinya, sebesen ini kalau habis dijual dapatlah RM50, sebungkus saya jual RM2 dan RM4,” katanya yang turut membantu ibunya, Mek Yah Awang, 62, berniaga.

Azmira berkata, buah nipah ini habis dijual dalam masa dua jam dan wang itu digunakan untuk menampung pengajiannya di Pusat Giat Mara, Tumpat.

Selain buah nipah yang enak dimakan, pokok nipah ini juga boleh menghasilkan air nira. - Sinar Harian

nipah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain