suria

Tiada Halangan Swafoto Di Tanah Suci

ASSALAMUALAIKUM. Cerita mengenai larangan swafoto di Tanah Suci Makkah dan Madinah tular di aplikasi Whatsapp baru-baru ini. Ramai rakan dan kenalan yang bertanya mengenai kesahihan cerita itu apatah lagi bukti larangan itu turut dimuatkan di dalam akhbar negara jiran.

Ada juga yang bersetuju dengan larangan itu demi kebaikan dan kelancaran ibadat jemaah. Tidak kurang juga berpendapat apabila bergambar, ia boleh menimbulkan riak pada seseorang dan boleh menjejaskan tumpuan jemaah lain.

Suatu ketika dahulu, sememangnya jemaah dilarang membawa kamera di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Justeru, memang tiada peluang mengabadikan gambar dan kenangan menunaikan umrah mahupun haji.

Larangan mengambil gambar lebih ketat di Masjid Nabawi kerana setiap kali memasuki pintu masjid, setiap jemaah akan diperiksa oleh pengawal keselamatan dan jika didapati membawa kamera atau telefon bimbit, jemaah tidak dibenarkan masuk atau telefon mereka akan disimpan di tempat lain.

Untuk mengetahui di mana telefon bimbit disimpan, saya dengan sengaja membawa telefon bimbit ke dalam Masjid Nabawi ketika hendak menunaikan solat Asar berjemaah. Jika tidak silap pada 2005.

Sejurus memeriksa beg galas saya, pengawal keselamatan wanita menyuruh saya masuk ke dalam sebuah bilik di sebelah kanan saya.

Di situ, seorang wanita bertubuh gempal meminta saya meletakkan telefon bimbit jika mahu bersolat di dalam masjid. Saya menyerahkan telefon bimbit saya dan selepas itu menulis nama saya di dalam sebuah buku.

Wanita itu mengatakan, hanya setelah solat, saya boleh mengambil telefon itu. Saya memerhatikan sekeliling bilik yang seumpama sebuah perpustakaan mini. Selepas solat, saya mengambil semula telefon bimbit itu.

Masih saya ingat lagi, ketika membuat liputan pada 2012, jurugambar saya dikejar oleh pengawal keselamatan lelaki di perkarangan Masjidil Haram sekitar jam 10 pagi. Disebabkan kebimbangan kamera dirampas, jurugambar itu berlari lintang pukang berkaki ayam untuk menyelamatkan diri.

Namun, jurugambar itu tidak serik kerana apabila saya hendak menemuramah petugas wanita di dalam Masjidil Haram, sekali lagi dia perlu merakamkan gambar tetapi pada kali itu dia membawa kamera kecil.

Di Makkah lebih mudah mengambil gambar kerana bukan semua pintu masuk ke masjid ada pengawal keselamatan dan jika jemaah wanita memasuki pintu yang dijaga pengawal lelaki, sudah tentu mereka tidak akan diperiksa.

Berbalik semula kepada cerita larangan swafoto di Makkah dan Madinah. Saya bertanya kepada seorang kenalan yang mengikut suaminya bertugas di Makkah. Bagaimanapun, beliau sendiri tidak mendengar sebarang berita mengenainya.

Alhamdulillah, minggu lalu, rakan yang pernah sama-sama bertugas menguruskan jemaah haji baru-baru ini mengesahkan mengenainya menerusi aplikasi Whatsapp.

Secara kebetulan, kawan saya itu, Haji Rashid, berada di Tanah Suci selama sebulan dan beliau maklumkan bahawa larangan itu tidak dikuatkuasakan sebagaimana digembar-gemburkan.

“Saya perhatikan tiada pula pengawal keselamatan merampas telefon atau melarang jemaah bergambar atau swafoto di dalam ataupun di luar masjid,” ujarnya dalam Whatsapp.

Malah, beliau sendiri turut bergambar bersama-sama jemaah di dalam Hijir Ismail dan perbuatan mereka itu dilihat oleh pengawal keselamatan yang sentiasa mengawal ketat di kawasan Hijir Ismail.

Di Madinah begitu juga tiada larangan bergambar. Jemaah masih bebas mengambil gambar walaupun di dalam masjid. Jika larangan itu dikuatkuasa, sudah tentu pengawal keselamatan yang menjaga di pintu hadapan masjid tidak membenarkan jemaah membawa telefon bimbit atau kamera.

Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, jemaah bebas mengambil gambar di dalam masjid, di dataran Kaabah atau di mana-mana ruang sekali pun. Amat sukar untuk melarang jemaah bergambar kerana ketika ini, telefon bimbit lengkap berkamera umpama keperluan dan kemestian kepada sesiapa saja untuk dibawa ke mana-mana.

Justeru, sangat sukar jika larangan itu dikuatkuasakan. Bagaimanapun, jemaah perlu memastikan setiap perlakuan mereka terutama apabila swafoto tidak menjejaskan konsentrasi jemaah lain atau mereka hilang fokus pada ibadat.

Adab, perlakuan dan tindakan jemaah perlu dipelihara lebih-lebih lagi di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

swafoto, Masjid Nabawi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Toyol' Muncul Dalam Masjid

Artikel Lain