suria

Ikan Bilis ‘Sajat, Fazura’?

Hafiz melayan pelanggan yang datang membeli ikan bilis di Pasar Siti Khadijah, Rabu. Foto Sinar Online

KOTA BHARU: Seorang peniaga ikan bilis dan makanan kering di Pasar Siti Khadijah di sini, tidak menyangka idea meletakkan nama jenis ikan bilis dengan nama unik termasuk nama selebriti dan artis terkenal mendapat sambutan ramai.

Mohd Razman Hafiz Rosdi, 23, atau mesra disapa Hafiz berkata, nama-nama ikan bilis yang unik itu menarik perhatian pelanggan dan mudahkan pelanggan memilih jenis-jenis ikan bilis yang mereka inginkan.

Menurutnya, antara nama ikan bilis yang dapat perhatian adalah ‘Sajat Wanita Terakhir’, 'Mata Fazura’, ‘Bilis Sado’, ‘Bilis Koya Comel’, ‘Bilis Mabuk Laut’, ‘Bilis Donald Trump’,’ Bilis Tak Tun Tuang Tak Mandi Lagi’, ‘Bilis Pyan Kpop’ dan ‘Bilis Datuk Vida’.

“Nama-nama itu saya pilih kerana ia merupakan nama yang menjadi sebutan ramai dan mudah diingati.

"Pada mulanya saya hanya sekadar suka-suka meletakkan nama begitu kerana mahu beri kelainan dan ternyata ia memberi tarikan.

“Selepas sebulan, perniagaan saya semakin baik, jika sebelum ini saya memperoleh RM300 hingga RM400 sehari, kini jualan makin bertambah sehingga RM800 hingga RM1,000 sehari," katanya.

Katanya, dia juga tidak sangka ia menjadi tular dan kini mendapat liputan dan ada juga pelanggan mahu ambil gambar walaupun tak beli.

Menurutnya lagi, apa pun dia tidak mempunyai niat lain dan hanya mencurahkan kreativitinya.

“Bahkan saya bukan untuk meraih populariti tetapi mahu memudahkan pelanggan memilih jenis ikan bilis yang mahu dibeli.

“Malah ada pembeli memuji cara begini kerana mudah diingati,” katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu.

Tambah Hafiz, setakat ini, bilis yang menjadi pilihan pelanggan adalah bilis ‘Berlagak Kaya’ dan 'Bilis Tak Tun Tuang Belum Mandi Lagi’.

“Pada kebiasaannya harga bilis ini sekitar RM16 dan ada juga yang mencecah sehingga RM65 sekilogram bergantung kepada kualiti ikan bilis yang dijual.

“Apa pun saya harapkan jualan saya akan lebih maju selepas ini. Ini merupakan perniagaan warisan keluarga dan saya juga turut menjual keropok dan serunding,” katanya.

Ikan bilis Hafiz boleh dibeli di tingkat dua di  Pasar Siti Khadijah. - Sinar Online

ikan bilis, Sajat, Fazura

Artikel Sebelum

'Toyol' Muncul Dalam Masjid

Artikel Berikut

Artikel Lain