suria

“Dia Tak Paksa Saya” – Dr Siti Hasmah

PETALING JAYA: Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menjelaskan bahawa tiada paksaan ketika beliau membuat keputusan untuk memulangkan pingat kebesaran yang dikurniakan Sultan Selangor.

Isteri kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau membuat keputusan itu secara sukarela.

“Dia (Mahathir) tidak paksa saya. Saya sukarela memulangkan kurniaan itu kepada istana. Sebab saya fikir bila suami saya dah terasa begitu, saya sebagai isteri patut bersimpati dengannya dan menyokong hasratnya. 

“Saya pun anak Selangor, dapat darjat yang tinggi daripada Selangor. Tetapi oleh sebab yang berlaku baru-baru ini, saya rasa perlu bantu hasrat suami dengan memulangkan kurniaan yang diberikan,” katanya menerusi rakaman video berdurasi kira-kira seminit di halaman Facebook 'Dr Mahathir bin Mohamad' pada Selasa.

Menerusi keterangan pada ‘posting’ itu, Dr Siti Hasmah menjawab kepada pertanyaan sama ada dua darjah kebesaran Selangor itu dipulangkan atas paksaan suami atau di atas kerelaan sendiri.

Pada Selasa, Istana Selangor mengesahkan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah telah memulangkan pingat kebesaran yang dianugerahkan kepada mereka.

Dewan Diraja Selangor dalam kenyataan memaklumkan kedua-duanya telah memulangkan pingat kebesaran itu pada 7 Disember lalu.

“Adalah dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah berkenan menerima pemulangan kembali darjah dan bintang kebesaran Selangor tersebut daripada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah tanpa halangan.

“Tindakan mewartakan pembatalan kurniaan darjah dan bintang kebesaran Selangor tersebut akan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang telah ditetapkan," kata Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima dua pingat iaitu pada 1978 dan 2003.

Salah satu daripadanya adalah Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) (Kelas Pertama).

Siti Hasmah dilaporkan turut memulangkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor. 

Beliau dianugerahi pingat berkenaan daripada Sultan Selangor pada 1983 dan 1994.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, perhimpunan Pakatan Harapan pada Oktober lalu bahawa rakyat Malaysia dipimpin perdana menteri berketurunan lanun Bugis.

Kenyataannya telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk Istana Johor dan komuniti Bugis di Indonesia.

Malahan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga murka atas kenyataan Dr Mahathir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain