suria

IJN Terima Anugerah Perkhidmatan Star Sterling

Pengarah Urusan dan CEO Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Sterling 2017 kepada CEO IJN, Datuk Seri Dr. Mohd Azhari Yakub di institut berkenaan, Selasa.

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) hari ini menerima Anugerah Perkhidmatan Star Sterling atas perkhidmatan cemerlang, bukan sahaja terhadap pesakit klinikalnya, malah orang awam menerusi aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya.

Anugerah tersebut, inisiatif Kumpulan Media Star dan disokong Yayasan Star, mengiktiraf organisasi sektor perkhidmatan awam yang menggalakkan profesionalisme dan daya usaha sektor perkhidmatan awam, melaksanakan inovasi baharu tadbir urus, mengguna pakai pendekatan teknologi dan meningkatkan imej sektor perkhidmatan awam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata anugerah yang julung kali diberikan oleh kumpulan media itu dan dihakimi oleh editor-editor media dan orang awam, merupakan penghormatan besar buat IJN dan bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-25 institut itu.

“Ia mencerminkan apa yang kami lakukan di IJN. Ia juga merupakan penghormatan terhadap perkhidmatan yang kami berikan kepada orang awam, yang kami rasakan bertaraf dunia, begitu juga dengan inovasi dan prosedur baharu yang kami perkenalkan pada kadar berpatutan untuk semua lapisan masyarakat.

“Kini, kami telah melangkaui Malaysia dan berjaya menarik pesakit luar negara ke IJN menerusi pelancongan perubatan. Saya sifatkan ini satu pengiktirafan terhadap perkhidmatan dan pencapaian kami selama ini daripada orang awam dan media,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah itu.

Anugerah disampaikan Pengarah Besar Kumpulan dan CEO Kumpulan Media Star Datuk Seri Wong Chun Wai. Anugerah itu berserta cek bernilai RM10,000 untuk Kelab IJN.-- Bernama  

IJN, Star Media

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain