suria

Bapa Tiga Mangsa Nahas Lenggong Meninggal Dunia

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan melibatkan tiga buah kereta dan sebuah lori treler dekat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong, Ahad yang mengorbankan tiga nyawa ketika itu.

TAIPING: Ayah kepada tiga beradik yang terkorban dalam kemalangan lima kenderaan di Lenggong Ahad lalu meninggal dunia, awal pagi Selasa.

Anak sulung mangsa, Muhammad Hafiz Ismail, 27, berkata bapanya Ismail Yaacob, 53, menghembuskan terakhir kira-kira 1.40 pagi tadi di Hospital Taiping, di sini.

"Saya berada di sisi arwah ayah pada saat akhir dan sempat membimbingnya mengucap," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Katanya jenazah ayahnya akan dikebumikan bersebelahan tiga lagi adiknya yang terkorban dalam kemalangan tragis itu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kuin, Kuantan, Pahang selepas solat asar, Selasa.

Kemalangan kira-kira 11 pagi Ahad lalu di lampu isyarat berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lenggong itu, melibatkan lima kenderaan termasuk yang dinaiki Ismail sekeluarga.

Dalam kemalangan tersebut tiga anak Ismail, Muhammad Hanif, dan kembarnya, Nur Ain Hanifah, 8, serta kakak mereka, Nur Ain Hafizah, 22, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Zarina Yong, 44, masih menerima rawatan di Hospital Taiping.

Dalam pada itu, Muhammad Hafiz berkata ibunya kini berada dalam keadaan stabil dan reda dengan kematian ayahnya.-- Bernama

Lenggong, Ismail Yaacob

Artikel Sebelum

Kebocoran Data 2014 - Jailani

Artikel Berikut

Artikel Lain