suria

Bapa Dakwa Anak Jutawan 'Lupa Daratan'

MELAKA: Seorang bapa yang mengalami angin ahmar, memfailkan tuntutan nafkah terhadap anak-anaknya selepas masing-masing didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagaimana seorang anak terhadap ayah.

Daut @ Kassim Jali, 84, yang memiliki tujuh orang anak sebelum ini berstatus jutawan apabila dikatakan memiliki tiga stesen minyak, ladang sawit, pusat ternakan ayam serta beberapa aset lain yang kesemuanya bernilai lebih RM4 juta.

Bagaimanapun, menurut Daut, setelah kesemua aset yang diusahakannya itu sejak 1970-an tersebut diagih-agihkan kepada tujuh anaknya yang berusia 41 hingga 58 tahun untuk diusahakan, lain pula jadinya.

Dia mendakwa, kesemua anaknya bukan sahaja 'lupa daratan' malah turut mengabaikan tanggungjawab terhadap dirinya sehingga terpaksa mengharapkan belas ihsan daripada anak-anak tiri serta isteri kedua yang kini tinggal di Masjid Tanah.

“Saya kesal kerana anak-anak meminggirkan saya. Nafkah sara hidup saya pun mereka tak beri, bagaimana saya hendak menyara kehidupan saya sedangkan saya amat memerlukan kos untuk rawatan kesihatan saya kini.

“Saya tidak mahu mempersoalkan terhadap apa yang telah diberikan kepada anak-anak, cuma melahirkan perasaan kecewa, macam ini balasan mereka kepada saya," katanya.

Menurutnya, anak-anaknya dua tahun tidak menjenguknya, bahkan ketika mengerjakan umrah sebelum ini pun tidak datang berjumpa.

“Ingat lagi satu ketika sewaktu kereta habis minyak, saya ke stesen minyak yang diusahakan anak tetapi tidak diendahkan. Anak saya tak bagi saya isi minyak. Dua jam saya tunggu, dimakinya pula. Padahal stesen itu saya yang usahakan dulu,” katanya sambil menahan sebak ketika  tampil mengadu di Pejabat Pusat Perkhidmatan BN (Pembela BN) negeri di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini, Isnin.

Sementara itu, peguamnya, Mohd. Adli Ithnin berkata, tiga tahun lalu, Daut pernah memfailkan tuntutan nafkah terhadap anak-anaknya itu di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka dan berjaya memperolehi hak untuk menguruskan ladang ternakan ayam di atas dua lot tanah.

“Malangnya pada September lalu, anak-anaknya mengambil kedua-dua lot tanah tersebut dan juga perniagaan ayam menyebabkan beliau kini tiada lagi sumber kewangan.

“Sedangkan pada masa kini beliau terpaksa membeli keperluan makanan, ubat-ubatan, lampin pakai buang serta perbelanjaan lain yang kesemuanya berjumlah hampir RM4,000.

“Justeru, dia akan memfailkan tuntutan nafkah terhadap tiga orang anaknya berjumlah RM3,925 sebulan setiap seorang sehingga akhir hayatnya,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, di dalam situasi ini, ketika usia ayah berkenaan sebegitu rupa, malah kesihatan yang tidak mengizinkan tidak sepatutnya anak-anak ketepikan bapa yang sudah banyak berjasa selama ini.

“Selama ini ayah telah berkorban untuk meningkatkan ekonomi anak-anak dengan tanpa usaha anak itu sendiri.

“Hari ini dengan berlandas usaha ayah, anak-anak ini berjaya di dalam bidang perniagaan masing-masing. Apa salahnya memberi sedikit sumbangan bulanan pada ayah?,” tegasnya.- Sinar Harian

Daut, Masjid Tanah

Artikel Berikut

Artikel Lain