suria

“Saya Menggeletar Bila Dia Kata Nak Jual”

Syed Azmi (gambar kecil) ketika melawat kediaman remaja yang ingin menjual bayi kembarnya melalui laman Mudah.my pada harga RM15,000. - Facebook/Syed Azmi

PETALING JAYA: Niat baiknya untuk mendidik masyarakat supaya lebih peka terhadap gejala sosial dalam kalangan remaja sering disalahertikan pihak tertentu.

Terbaharu, 'posting' Syed Azmi Alhabshi mengenai seorang wanita berusia 20 tahun yang ingin menjual bayi kembarnya secara dalam talian telah dianggap sebagai tindakan yang sengaja mahu mengaibkan ibu muda itu, walaupun perkongsian tersebut langsung tidak mendedahkan identiti individu terbabit.

Mengakui bahawa dirinya agak terkilan dengan teguran netizen itu, ahli farmasi tersebut berkata, beliau sentiasa memastikan aib setiap individu yang dinyatakan dalam penulisannya terjaga rapi dan sering mengingatkan agar netizen berinteraksi dengan penuh adab antara satu sama lain.

"Saya terkilan apabila individu itu mendakwa apa yang saya tulis mengaibkan bangsa seagama kita, walhal bukan agama kita (Islam) sahaja yang perlu dijaga aibnya.

"Niat saya cuma satu iaitu untuk menyedarkan masyarakat tentang realiti yang berlaku zaman sekarang," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Menerusi 'posting' tersebut, Syed Azmi memberitahu bahawa beliau sengaja tidak mendedahkan latar belakang wanita terbabit kerana ingin melihat reaksi netizen terhadap isu penjualan bayi itu dan bukannya membuat kesimpulan berdasarkan maklumat wanita itu semata-mata.

Namun, dedah Syed Azmi, wanita tersebut sebenarnya bekas pelajar sekolah tahfiz dan dari keluarga yang penyayang serta mempunyai didikan agama yang sempurna.

Syed Azmi membuat laporan polis sebaik mengetahui tentang kes penjualan bayi kembar tersebut.

"Bila saya tidak sebutkan latar belakang ibu muda itu, ada yang tanya dari mana asal ibu bapanya, kerja apa dan tahap pendidikan mereka.

"Tidak kisah di mana pun anda bersekolah, tapi jika tidak gunakan dengan sebaiknya, masalah ini tetap akan berlaku. Tidak adil untuk katakan mereka tiada pendidikan agama," jelas Syed Azmi.

Tambah beliau, selepas hampir tiga jam menemubual wanita tersebut dan keluarganya, ibu kepada bayi kembar berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda penyesalan di atas perbuatan mengiklankan bayi-bayi itu di laman web jual beli terkemuka di negara ini, Mudah.my pada Jumaat lalu.

Beliau bagaimanapun cuba menyelami perasaan wanita itu dan beberapa kali mengajukan soalan tentang perancangannya ke atas kedua-dua bayi malang tersebut selain meneruskan niat untuk menjualnya.

"Saya menggeletar bila beberapa kali dia kata nak jual.

"Saya terangkan bahawa perbuatan ini salah. Macam mana kalau ada pihak yang beli bayi itu curi organ atau potong badan mereka untuk dijadikan peminta sedekah?" ujar Syed Azmi dengan nada kesal.

Beliau turut berharap orang awam berhenti menjadi 'masyarakat swafoto' yang hanya tahu mengambil gambar tanpa berbuat apa-apa untuk menyelamatkan keadaan.

jual bayi, Syed Azmi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dah Samun, Rasa Bersalah?

Artikel Lain