suria

“Rupa-Rupanya Dah Tahap Lima”

Suzana sayu setiap kali melihat anaknya yang sedang tidur.

RANTAU PANJANG: Sangkaan sakit pinggang yang dialami seorang jurujual pasar raya kerana penat bekerja meleset sama sekali apabila dia disahkan kedua-dua buah pinggangnya rosak.

Suzana Rohin, 25, berkata, dia tidak menyangka sakit kepala dan lenguh pinggang petanda sakit yang dihidapi sudah menjangkau ke tahap kronik.

Selepas disahkan doktor Mac lalu, Suzana berkata, dia terpaksa menjalani tujuh pembedahan.

“Masa doktor maklum sakit ini mungkin agak teruk, saya ingatkan ia baru sahaja di tahap satu tapi rupa-rupanya dah tahap lima.

“Selepas pemeriksaan itu, saya dibedah dua kali di paha manakala selebihnya, menebuk lubang di perut untuk memasukkan tiub kekal bagi memudahkan proses dialisis kelak,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik ini berkata, disebabkan penyakit ini juga dia terpaksa menumpang di rumah bapanya, Rohin Hassan, 56, di Kampung To’ Deh Barat.Manakala suami, Ashram Amran, 25, katanya, terpaksa berhenti kerja memandu lori dan kini berniaga menjual burger di sini.

Suzana berkata, meskipun bapanya bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah menengah dekat sini, namun dia tidak pernah merungut sepanjang menjaga dan membawanya ke hospital.

“Sebelum ini, saya banyak bantu suami tambah pendapatan dengan perniagaan dalam talian.

“Tapi sekarang saya tak mampu buat apa-apa, tidur pun atas katil adik. Anak tunggal saya, Adam Safiudin Ashraf yang baru mencecah usia tiga tahun, ibu yang jaga,” katanya.

Suzana berkata, dia tidak sanggup melihat anak tunggalnya menangis setiap kali melihatnya mengerang kesakitan.

Katanya, kegagalan buah pinggang berfungsi dengan baik menyebabkan dia mengidap pelbagai penyakit lain mula menyerang malah, berat badannya mula susut menjadi 37 kilogram sahaja. - Sinar Harian

Buah Pinggang, Tahap Lima

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain