suria

Saran Wakaf Pendidikan Bantu Golongan Tidak Mampu

KUALA LUMPUR: Umno Johor menyarankan kerajaan mewujudkan mekanisme wakaf pendidikan bagi membantu anak muda Melayu yang tidak berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Ketua Umno Bahagian Segamat Zahari Sarip berkata wakaf pendidikan tersebut boleh ditukar menjadi biasiswa sebagai ganjaran atau penghargaan terutama bagi anak pertama daripada keluarga kurang berkemampuan yang tidak pernah melanjutkan pelajaran ke universiti.

"Umno Johor ingin mencadangkan konsep wakaf ini kita perluaskan kepada wakaf pendidikan kerana alhamdulillah, masyarakat kita sudah mula sedar tentang kepentingan wakaf.

“Kami harap Kementerian Pendidikan mengambil tugas dan peranan ini untuk mengajak masyarakat menjalankan program wakaf pendidikan kerana jika ia diperluaskan, Johor percaya wakaf ini dapat membantu masyarakat Melayu khasnya melanjutkan pelajaran ke menara gading,” katanya ketika mencadangkan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2017.

Konsep wakaf pendidikan itu boleh menjadi alternatif bantuan kewangan bagi anak Melayu melanjutkan pelajaran, selain pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sedia ada.

Zahari turut mencadangkan kerajaan tidak meminggirkan sekolah di kawasan pedalaman terutama dalam proses transformasi bilik darjah pintar pembelajaran abad ke-21 selain memastikan prasarana kemudahan wi-fi mencukupi di semua sekolah.

“Kementerian Pendidikan harus melihat bagaimana hendak membantu sekolah di kawasan pedalaman kerana kita tidak mahu sekolah bandar dan pinggir bandar sahaja mendapat nikmat kemudahan bilik darjah pintar pembelajaran abad ke-21, sedangkan matlamat TN50 (Transformasi Nasional 2050) tidak memilih siapa, di mana dan bagaimana,” katanya.

Sementara itu, wakil Umno Kelantan Amran Arifin berkata Kelantan sudah bersedia untuk menubuhkan universiti al-Quran kerana negeri itu mempunyai banyak tanah.

Menyokong usul itu, beliau berkata Umno Kelantan merayu supaya kerajaan menyediakan laluan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi pelajar tahfiz selepas mereka melalui Kurikulum Bersepadu Tahfiz di peringkat sekolah menengah.

“Kepimpinan Umno Kelantan juga telah menetapkan misi mengambil alih Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti. Saya seru kepada rakyat Kelantan, beri kami peluang pada PRU14 untuk majukan negeri Kelantan kerana banyak perancangan kita buat,” katanya.

Wakil Puteri Umno, June Artisha Mohamad Nazari mengesyorkan kerajaan mempertimbangkan untuk memberi penekanan terhadap subjek pendidikan sivik kepada murid seawal di peringkat prasekolah dan tadika.

Menurutnya, infrastruktur moden dan teknologi canggih yang mahu dicapai dalam Transformasi Nasional  (TN50) perlu diselaraskan dengan modal insan yang cemerlang.

“Kita mahukan masyarakat yang mempunyai sikap sopan santun tinggi kerana Malaysia merupakan negara unik yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, kepercayaan dan adat resam.

“Pendidikan sivik juga mampu melahirkan masyarakat mentaliti kelas tinggi. Kita tidak mahu lagi gejala vandalisme terhadap perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) seperti yang terjadi baru-baru ini berulang,” katanya ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2017.

Wakil Pemuda Umno Datuk Mohd Razlan Mohamad Rafii pula mencadangkan kerajaan menyediakan Pelan Transformasi Agenda Sosial untuk dibentang pada anak muda bagi mewujudkan masyarakat yang mempunyai tahap sivik yang tinggi.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan berkata semasa zaman kepesatan teknologi yang menyaksikan anak-anak muda begitu khusyuk dengan aplikasi media sosial yang tumbuh seperti cendawan, moral dan sahsiah diri mereka juga dilihat begitu mudah terhakis.

"Kita ketika ini berhadapan dengan cabaran konvensional seperti kes buli, dera, dadah, judi dan ponteng sekolah, selain cabaran moden iaitu ketagihan kepada skrin yang membawa kepada masalah mental dan budaya menghentam.

“Oleh itu, seperti mana kita lihat anak muda di Jepun diajar tentang sivik, menyayangi alam sekitar serta kebersihan, maka dengan itu jugalah kita mahu anak muda kita diberi pendidikan sivik yang sebetulnya," katanya.

Dalam pada itu, usul agama dan pendidikan yang dibawa oleh Zahari dan disokong Amran diterima sebulat suara oleh perwakilan dalam perhimpunan hari terakhir itu.

Pengerusi Tetap Umno Tan Sri Badruddin Amiruldin meminta perwakilan untuk mengangkat tangan sebagai tanda setuju selepas selesai dibahaskan oleh sembilan pembahas pada kira-kira 1 tengah hari.

Badruddin kemudiannya mengumumkan persidangan disambung pada pukul 2.30 petang untuk sesi penggulungan oleh ketua-ketua sayap, wakil anggota Majlis Tertinggi Umno, wakil kerajaan, naib presiden dan presiden parti.-- Bernama

Zahari Sarip, PAU

Artikel Sebelum

PAU Kecoh Janna Nick Muncul

Artikel Berikut

Awas Peniaga Air Zam-Zam!

Artikel Lain