suria

Awas Peniaga Air Zam-Zam!

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berikutan larangan yang dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi menjual air tersebut di mana-mana kedai di seluruh Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mereka yang disabitkan kesalahan menjual air zam zam boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Sejak 2012 sehingga Oktober ini, sejumlah air zam zam bernilai RM58,191.80 telah dirampas melalui hasil penguatkuasaan yang telah dijalankan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, perkara ini telah dipersetujui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memandangkan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa KKM.

Katanya pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan air zam zam berdasarkan Seksyen 4 (1) (f) Akta Makanan 1983.

Dr Noor Hisham berkata air zam zam diperoleh dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semula jadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Pengimportannya memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport," jelas beliau.

Katanya, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad selepas berlepas dari Arab Saudi.

"Kementerian sedang meningkatkan tindakan penguatkuasaan ke atas penjualan air zam zam memandangkan ia tidak dibenarkan di Malaysia," katanya.

Kepada pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai isu keselamatan, Dr Noor Hisham berkata mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq. -Bernama

air zam-zam, KKM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain