suria

Wanita ‘Terperangkap’ Dihantar Pulang Ke Tanah Air

Devasuria Subramaniam.

KLANG: Seorang wanita warga Malaysia yang terperangkap dalam situasi ancaman keselamatan di sebuah perkampungan di India dijangka pulang ke tanah air pada Selasa.

Sub-Inspektor Satesh Kumar dari balai polis Uchipulli di daerah Ramanathapuram, Tamil Nadu, berkata wanita tersebut yang dikenal pasti sebagai Devasuria Subramaniam dari Kuala Lumpur akan pulang bersama anak lelakinya berusia empat tahun.

"Dia datang ke balai polis ini pada Sabtu dan kami menghantarnya ke ibu pejabat polis di Rameswaram di mana urusan tersebut diselesaikan. Tiket penerbangannya sudah ditempah," katanya ketika dihubungi.

Nasib Devasuria mendapat perhatian apabila satu rakaman video dia menangis memohon bantuan menjadi viral di media sosial.

Malah, wanita itu mendakwa keluarga suaminya merancang untuk menghantarnya pulang ke Malaysia tanpa anak lelakinya.

Video kedua turut dimuatnaik di mana seorang wanita meminta maaf dan memohon agar video pertama tidak ditularkan.

Satesh berkata Devasuria telah pergi ke rumah iparnya sementara menunggu penerbangannya ke Malaysia.

Pada Sabtu, The Star melaporkan seorang konstabel dari balai polis sama yang telah bercakap dengan Devasuria di mana wanita itu berkata dia rela tinggal di rumah perlindungan wanita daripada kembali ke rumah suaminya.

Satu laporan polis telah dibuat di balai polis Klang Selatan pada Sabtu oleh Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira).

Setiausaha Agungnya Kannan Ramasamy merayu kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India dan Jabatan Imigresen untuk membantu penghantaran pulang wanita itu ke Malaysia.


Devasuria Subramaniam

Artikel Sebelum

MBPJ Tawar RM3 Seekor Tikus

Artikel Berikut

Artikel Lain